AKAR Gesa Kerajaan Halang Najip Ali Masuk Malaysia

KUALA LUMPUR – Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR) mahu kerajaan menghalang selebriti Singapura, Najip Ali masuk ke negara ini kerana mendakwanya menghina Perdana Menteri.

Timbalan Presiden AKAR, Helme Hanafi berkata, penghinaan Najip itu tidak boleh diterima apatah lagi beliau banyak ‘cari makan’ di negara ini.

Najip sebelum itu bersama rakan-rakannya di Singapura dikatakan menghina Datuk Seri Najib Razak dalam rancangan hiburan, Ok Chope di negara berkenaan.

“Saya mengikuti dengan dekat kemarahan rakyat Malaysia terutamanya penyokong kerajaan terhadap warga Singapura bernama Najip Ali.

“Menonton kembali program yang menjadi punya kemarahan tersebut, jelas wujud kesengajaan untuk menghina Perdana Menteri.

“Sama ada Najib atau sesiapa juga, hinaan terhadap PM Malaysia tidak boleh diterima sama sekali terutama dengan orang asing yang ‘cari makan’ dalam negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Najip yang pernah menjadi hos rancangan Asia Bagus itu kini menjadi juri Maharaja Lawak terbitan Astro di Malaysia.

Justeru, Helme mencadangkan Kementerian Dalam Negeri menghalang Najip Ali dan rakan-rakannya dalam siri rancangan yang sama masuk ke Malaysia selama-lamanya.

“Panggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura dan mendesak republik tersebut mendakwa Najip Ali dan rakan-rakannya kerana menghina pemimpin negara jiran dalam siaran televisyen negara berkenaan,” katanya lagi .- MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.