Video: Tanpa MARA, Melayu Akan Tersungkur – PM

KUALA LUMPUR – Agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus wujud jika UMNO terus berkuasa dalam negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 

“Tanpa UMNO, MARA akan terkubur. Kalau MARA terkubur, Melayu dan bumiputera mungkin akan tersungkur. Sebab itulah walau bagaimanapun keadaan, kita mesti menjaga UMNO.

 

“Jangan duduk sebaris dengan orang yang hendak mengkhianati UMNO. Jangan bersekongkol dengan mereka.

 

“Kita kena mempertahankan UMNO, kerana mempertahankan UMNO adalah mempertahankan Melayu dan bumiputera,” kata Najib dalam ucapan perasmian pada Majlis Sambutan Perdana 50 Tahun MARA di Dewan Utama, MENARA MARA di sini, hari ini.

 

 

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

 

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengumumkan lima inisiatif terbaharu termasuk penstrukturan semula anak syarikat di bawah Mara Corporation Berhad dengan nilai semasa syarikat berkenaan sebanyak RM1.4 bilion.

 

Menurut Najib, inisiatif itu antara lain adalah Mara akan menstrukturkan semula anak syarikatnya, Mara Corporation Berhad dengan nilai semasa keseluruhan RM1.4 bilion di bawah satu bumbung agar prinsip governansnya bergerak lebih lancar dan teratur.

 

“Mara juga akan terus membantu komuniti usahawan untuk terus maju dan berdaya saing yang merupakan kesinambungan daripada Rural Industrial Development Authority (RIDA).

 

“Seterusnya, Mara akan membantu dari segi pembangunan modal insan melalui penubuhan Universiti Mara yang memfokuskan kepada bidang bukan Teknikal dan Vokasional (TVET), ” katanya lagi.

 

Lebih menarik, Najib turut mengumunkan nama Jalan Semarang yang terletak berhampiran Hotel Premiera dan Menara Mara di sini ditukar kepada nama Jalan MARA.

 

Beliau mengumumkan penukaran nama Yayasan Pelajaran MARA kepada Yayasan MARA dengan dana terkumpul setakat ini RM800 juta dan penukaran Jalan Semarang kepada Jalan Mara.

 

Najib turut mengumumkan penubuhan Rural Capital Berhad bagi terus membentuk komuniti usahawan yang maju dan berdaya saing, disamping memberi perkhidmatan bantuan pinjaman.

 

Sebuah universiti yang dinamakan sebagai UniMARA juga akan ditubuhkan, bagi membantu pembangunan modal insan menerusi MARA, kata Najib. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.