Video: Doa Badrul Amin Laknat Mahathir, Satu Kesilapan – Rafizi

KUALA LUMPUR – Doa laknat ‘Mahazalim’ dan ‘Mahafiraun’ yang dibaca oleh pemimpin kanan PKR, Dr Badrulamin Bahron ketika menutup Himpunan Mansuh GST Sabtu lalu satu kesilapan kata Rafizi Ramli.

 

Setiausaha Agung PKR itu berkata, beliau akan mengambil tanggungjawab tersebut dan akan memohon kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 

“Doa yang tidak kena dibacakan si akhir, mengaibkan Tun Mahathir dengan doa tidak mengubah apa-apa malah memualkan rakyat. Itu satu kesilapan dan saya ambil tanggungjawab itu sbg Setiausaha Agung KEADILAN.

 

“InshaAllah saya akan memohon maaf secara peribadi dan akan disampaikan kepada beliau. Saya minta maaf bagi pihak KEADILAN kerana ada 1-2 perkara yang kurang cantik,” katanya dalam satu kenyataan yang diterima SuaraTV.

 

 

Sabtu lalu, Badrulamin ketika membaca doa penutup Himpunan Mansuh GST meminta supaya pemimpin yang bertanggungjawab memenjarakan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan balasan yang setimpal.

 

Anwar dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun kerana didapati bersalah di atas kesalahan penyalahgunaan kuasa dan sembilan tahun kerana didakwa melakukan kesalahan di luar tabii (liwat).

 

Susulan daripada itu, penyokong-penyokong Anwar menggelarkan Tun Mahathir sebagai Mahazalim dan Mahafiraun sehingga kini.

 

Rafizi turut memohon maaf atas tindakan segelintir peserta demontrasi yang mengganggu ucapan Tun Mahathir.

 

“Banyak kamera media yang dialihkan ke arah mereka apabila makin kuat semasa Tun Mahathir bercakap.

 

“Saya pun tidaklah terlalu selesa dengan Tun Mahathir tetapi kena ada adab. Islam tidak mengajar kita mengaibkan orang. Dia sudah tua.

 

“Bagi saya dosa-dosanya dan kesilapannya biarlah di antara dia dan Allah. Sementara saya berhati-hati dengan dia, adab kena jaga dan mengaibkan orang tua itu adalah ‘poor taste’,’ katanya.

 

Sementara itu Badrulamin melalui kenyataan di Facebook tetap mempertahankan doa laknat tersebut.

 

Menurutnya doa sebegitu yang dibacanya bukan perkara baru kerana doa yang sama telah dibaca sejak awal reformasi, sebelum beliau dipenjarakan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehinggalah sekarang.

 

“Ada orang tidak senang dengan doa saya semalam di Dataran Merdeka kerana konon biadab pada Mahathir.

 

“Sekadar itulah kemampuan saya menentang kezaliman yang akan saya jawab nanti bila ditanya di Mahkamah Allah.

 

“Saya tidak berani dan tidak mampu menegur secara berdepan dengan orang yang Zalim. Saya hanya mampu sekadar berdoa. Itulah senjata saya,” katanya di laman sosial Facebook beliau. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.