Tak Hadir Demo Anti-GST Sebab Ada Program Lain – PAS

KUALA LUMPUR – Komitmen terhadap sebuah program di Kedah menjadi penyebab kepada ketiadaan pemimpin PAS di Himpunan Tolak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Sabtu lalu.

 

Hal itu dimaklumkan oleh Naib Presiden PAS, Idris Ahmad apabila ditanya mengapa parti itu tidak menghantar wakil di himpunan yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH) itu.

 

Bagaimanapun, ujarnya ketiadaan mana-mana pemimpin parti itu tidak boleh dianggap seolah-olah PAS menyokong langkah kerajaan memperkenalkan cukai GST sejak setahun yang lalu.

 

“Kita ada program lain di Kedah.

 

“Kita konsisten menentang GST, tidak kira bagaimana cara pun.

 

“Anda lihat bagaimana kita buat himpunan menentang GST di Padang Merbok (tahun lalu), berpuluhan ribu ahli kami turun. Yang penting menentang sebab kita tak pernah merestui,” katanya kepada pemberita di Lobi Dewan Rakyat, hari ini.

 

Sabtu lalu, PH menganjurkan Himpunan Tolak GST, simbolik kepada setahun cukai itu dilaksanakan di negara ini.

 

Demonstrasi jalanan itu bertumpu di Dataran Merdeka selepas empat lokasi utama Masjid Jamek Kampung Baru, Pasar Seni, Jalan Sultan dan Kompleks Beli Belah SOGO dijadikan tempat berkumpul peserta dan pemimpin pembangkang.

 

Namun himpunan itu disifatkan sebagai gagal apabila jumlah kehadiran peserta hanya sekitar 2,000 orang meskipun mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir memberi ucapan sebelum himpunan ditamatkan.

 

Pembangkang juga kekal dengan pendirian menolak pelaksanaan cukai itu, meskipun kerajaan telah membuktikan kutipannya membantu mengukuhkan kedudukan kewangan negara di kala harga minyak dunia jatuh merudum.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan berkata pihak kastam berjaya mengutip hasil lebih RM51 bilion sejak pelaksanaan GST, berbanding kutipan RM37.2 bilion pada 2014 tanpa GST.

 

Kutipan itu yang lebih tinggi daripada jangkaan asal itu membolehkan kerajaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia pada masa ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.