SPR Kaji Laksana Perubahan Besar Pilihan Raya

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengkaji mewajibkan mengundi dan beberapa perubahan lain bagi menjadikan proses pilihan raya setanding dengan demokrasi matang lain.

 

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, beberapa perubahan itu mungkin dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) diadakan pada 2018.

 

Bercakap kepada theSun, beliau berkata, walaupun 13.3 juta rakyat mendaftar untuk mengundi pada PRU13, hanya 11.3 juta (85 peratus) yang melaksanakan tanggung jawab mereka.

 

“Sudah sampai masanya kita melaksanakannya (mewajib mengundi). Ya, mungkin untuk masa depan,” katanya sambil menambah sudah ada tuntutan agar SPR melaksanakan perkara itu, seperti yang dilakukan oleh Singapura.

 

Di Singapura, nama mereka yang tidak mengundi akan diserahkan kepada pegawai pendaftaran dan akan dikeluarkan daripada pendaftaran sah pengundi sebelum dilarang daripada mengundi pada pilihan raya berikutnya.

 

Mohd Hashim bagaimanapun berkata, orang ramai perlu dididik mengenai proses pilihan raya dan satu kajian diperlukan bagi memastikan keperluan perubahan itu di negara ini.

 

Bagi masyarakat OKU yang tidak hadir pada hari membuang undi, Mohd Hashim berkata, satu penyelesaian untuk membawa kertas dan kotak undi kepada mereka perlu dicari.

 

Mengenai membawa cadangan itu ke Parlimen, beliau berkata ia masih di peringkat kajian dan SPR juga sedang mengkaji banyak isu lain untuk dilaksanakan.

 

Apabila ditanya sama ada perubahan itu dapat dilaksanakan ketika PRU14, beliau berkata: “Kami cuba sedaya upaya untuk memudahkan pilihan raya untuk semua orang.”

 

Mohd Hashim berkata, SPR juga mengkaji melaksanakan “pendaftaran automatic” bagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas.

 

“Ada pandangan yang meminta kami mendaftar pengundi layak secara automatic. Bagaimanapun, ini tidak menyelesaikan masalah mereka yang degil dan enggan keluar mengundi,” katanya.

 

Mohd Hashim berkata, perubahan lain sedang dikaji ialah cadangan mewujudkan sekretariat khas yang akan bertindak sebagai pasukan petugas, terdiri daripada pegawai SPR bersara, bagi mendidik pengundi terutama generasi muda, mengenai proses pilihan raya dan peranan SPR.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.