‘Saya Mahu Jadi Perdana Menteri’ – TMJ

KUALA LUMPUR – “Saya lebih berminat untuk membeli Perdana Menteri dan jadikan diri saya Perdana Menteri daripada membayar pengadil untuk memenangi perlawanan bola sepak. Tetapi apa boleh buat. Saya selalu berfikiran luas manakala mereka pula sentiasa berfikiran sempit,”kata Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menerusi laman rasmi Facebook JOHOR Southern Tigers, kelmarin menjawab persoalan negatif yang mempersoalkan baginda tentang pembelian pengadil.

 

Tunku Ismail membuat kenyataan tersebut bagi menjawab lapan persoalan di media sosial mengenai komen-komen negatif terhadap baginda.

 

Tunku Ismail berkata, desas desus mengatakan JDT tidak dapat melahirkan pemain berbakat, baginda mengakuinya dan pasukan itu hanya akan membeli pemain dari pasukan lain.

 

“Benar. Maka teruskan melahirkan pemain berbakat sebab saya mahu membeli mereka,”ujarnya.

 

Didakwa JDT sebagai membunuh bola sepak Malaysia Tunku Ismail menjawab, perkara itu benar.

 

“JDT membunuh bola sepak tanahair, itu sebabnya kami merupakan pasukan yang pertama di Asia Tenggara membawa nama Malaysia memenangi Piala AFC. Kita membunuh bola sepak dan FAM membantu bolasepak Malaysia mendapatkan sumber kewangan dan hanya berminat dalam Piala Suzuki. JDT akan terus membunuh. Usah bimbang,”akuinya.

 

Apabila menjawab mengenai JDT bukan pasukan yang paling kaya di negara ini dan bukan kerana perkara tersebut kelab itu sentiasa mengungguli perlawanan.

 

“Salah. Felda, Terengganu, Pahang dan Selangor adalah pasukan yang paling kaya di negara ini. Felda adalah yang terkuat kerana ia adalah pasukan Kerajaan Persekutuan. Mereka perlukan undi, maka Felda adalah yang terkuat dan paling kaya,”ujarnya.

 

Menjawab persoalan mengenai perbandingan antara JDT dengan pasukan pantai timur, Tunku Ismail berkata, disebabkan itu, ia memerlukan 3 pasukan bergabung untuk mengalahkan 1 pasukan.

 

Tunku Ismail turut menjawab persoalan yang didakwa sebagai JDT mencuri pemain. Menurut baginda, ia bukanlah mencuri apabila pemain yang mahu datang kepada pasukan itu.

 

Apabila menjawab kesemua kaitan JDT mengenai wang, Tunku Ismail menjawab tidak.

 

“Bukan, RM100 juta serta banyak lagi wang telah hilang dalam negara dan tiada siapa yang menyiasat tentang semua wang itu. Anda sepatutnya lebih bimbangkan perkara tersebut berbanding terhadap kewangan JDT. JDT hanyalah sebuah kelab kecil dengan impian yang besar,”ujarnya.

 

Tunku Ismail turut membidas komen negatif terhadapnya yang didakwa menunjukkan harta, dan membezakan dirinya dengan individu lain sebagai berfikiran sempit.

 

“Perbezaan mentaliti antara saya dan individu-individu yang berfikiran sempit adalah, saya lebih risau dan kasihan anda kena bayar GST tapi anda lebih risau tentang TMJ menunjuk harta. Tahniah! Anda adalah rakyat yang kerajaan seluruh dunia paling suka. Kerana anda buta,”akhirinya.-SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.