Pensyarah Ramal Malaysia Alami Suhu Padang Pasir 10 Tahun Lagi

JOHOR BAHRU — Malaysia bakal merasai suhu padang pasir negara Arab 10 tahun lagi apabila ia diramal mencecah 40 darjah celsius, lapor akhbar.

 

Pengarah Kampus Lestari di Universiti Teknologi Malaysia profesor madya Dr Mohd Fadhli Md Din dilaporkan berkata keadaan itu boleh berlaku apabila suhu di negara ini meningkat 1.2 darjah Celsius setahun.

 

“Kadar suhu yang sangat tinggi itu bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada tubuh manusia yang hanya mampu bertahan dalam suhu maksimum 39.5 darjah celsius.

 

“Malah mengakibatkan negara berisiko mengalami musim kemarau berpanjangan,” katanya seperti dilaporkan akhbar Kosmo! hari ini.

 

Fadhli berkata suhu meningkat disebabkan pelepasan gas karbon dioksida dari kilang dan kenderaan yang semakin banyak dikeluarkan.

 

Katanya, kerajaan perlu menyediakan pelan tindakan bagi membolehkan negara berdepan dengan kemarau panjang.

 

Peningkatan suhu berperingkat membawa mudarat kepada manusia yang terdedah kepada strok haba, terutamanya warga tua dan kanak-kanak, katanya.

 

Beliau dilaporkan berkata tubuh badan manusia secara purata mampu bertahan selama 10 minit di bawah suhu maksimum 39.5 darjah Celsius sebelum terdedah kepada strok haba. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.