Pemuda AMANAH Ditahan Bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin ditahan selama 24 jam di bawah Akta Hasutan atas dakwaan menulis sebuah makalah yang menghasut rakyat merusuh di jalan raya.

 

Shazni yang diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi diberitahu pegawai penyiasatan daripada Bukit Aman sebentar tadi bahawa dia ditahan mandatori 24 jam untuk siasatan.

 

Shazni tampil ke IPD Dang Wangi dengan ditemani peguam, Lim Lip Eng.

 

Sabtu lalu, Ketua Polis Negara (IGP), Datuk Seri Khalid Abu Bakar menulis di Twitter, “PCRIC dan Unit Siasatan Khas D5 @PDRMsia ambil tindakan ke atas penghasut ini” berhubung penyebaran artikel ‘Kerajaan Malaysia hanya boleh ditumpaskan dengan rusuhan besar-besaran’.

 

Shazni bagaimanapun berkata makalah yang disiasat itu telah diputarbelit daripada makalah asal yang diterbitkan Khamis lalu.

 

Sebelum menyertai AMANAH pada tahun lalu, Shazni merupakan bekas aktivis mahasiswa yang aktif dengan Gerakan Mahasiswa Islam (Gamis) dan Pemuda PAS Johor serta pernah menjawat jawatan Pegawai Akhbar di Pejabat Menteri Besar Selangor.

 

Dalam pada itu Pemuda AMANAH membidas tindakan polis kerana kenyataan Shazni telah dimanipulasi daripada kenyataan asal.

 

“Memberi penerangan kepada rakyat tentang bahana GST dan menyeru untuk turun ke Himpunan Bantah GST bukanlah satu jenayah.

 

“Penangkapan yang dibuat memberi isyarat pihak polis dilihat terdesak untuk membela kerajaan daripada berhadapan kemarahan rakyat,” kata Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan dalam satu kenyataan media.

 

Sementara itu, NGO Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Gerakan Anti Akta HAsutan (GAH) akan bersama-sama Pemuda AMANAH yang merancang mengadakan vigil solidariti untuk Shazni dan seorang lagi aktivis, Ahmad Shukri Kamaruddin yang turut ditahan di bawah Akta Hasutan di Johor pada Isnin lalu.

 

Himpunan tersebut dijangka diadakan jam 8 malam ini di hadapan IPD Dang Wangi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.