Kerana Peguam, Zahida Didenda RM5,000

PUTRAJAYA – Gara-gara peguam tidak hadir ke mahkamah, pelakon Zahida Mohamed Rafik terpaksa membayar RM5,000 kepada bekas pemandunya, Noor Azman Azemi.

 

Hakim Lim Yee Lan bersama Hakim Badariah Sahamid dan Harmindar Singh Dhaliwal membuat keputusan itu selepas peguam Zahida, Tan Sri Abdullah Shafee gagal hadir di mahkamah untuk perbicaraan kes hari ini.

 

Hari ini sepatutnya berlangsung perbicaraan kes rayuan Zahida berhubung keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu yang mengarahkan dia membayar ganti rugi RM150,000 kerana didapati bersalah memfitnah Nor Azman.

 

Seorang lagi peguam Zahida, Wan Aizuddin Wan Mohamed memberitahu mahkamah Shafee tidak hadir kerana mengendali kes pecah amanah di Butterworth yang telah berlanjutan sejak lima tahun.

 

Peguam Nor Azman, Latheefa Koya berkata, pihaknya tidak dimaklumkan lebih awal oleh Shafee untuk meminta agar kes hari ini ditangguhkan ke tarikh lain.

 

“Kami tuntut kos RM5,000 kerana penangguhan ini,” katanya.

 

“Ini kali bukan pertama peguam Shafee meminta penangguhan kes dan menimbulkan kesusahan kepada orang lain yang terpaksa memandu ke sini,” kata Hakim Badariah ketika menolak bantahan Wan Aizuddin.

 

Panel hakim kemudian mengarahkan Zahida membayar RM5,000 kepada Azman.

 

Nor Azman pada 2013 pernah memfailkan saman Zahida kerana menuduhnya melarikan wang tunai berjumlah RM200,000 yang disiarkan akhbar Harian Metro.

 

Mahkamah Tinggi pada 26 Februari tahun lalu mendapati Zahida bersalah memfitnah Nor Azman dan mengarahkan dia membayar RM150,000 kepada bekas pemandunya itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.