Air Empangan Durian Tunggal Berada Di Tahap Amaran

AYER KEROH – Takungan air di Empangan Durian Tunggal, di sini, berada pada tahap amaran dengan mencatatkan 58 peratus air sejak semalam.

 

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata keadaan itu menimbulkan sedikit kebimbangan kepada kerajaan negeri, namun yakin ia masih mampu menampung kegunaan penduduk di negeri ini.

 

Beliau berkata, bagi dua empangan lain iaitu Empangan Jus dan Empangan Asahan di Jasin masing-masing mencatatkan kapasiti air memuaskan iaitu sebanyak 77 dan 89 peratus.

 

“Berikutan situasi amaran itu, saya menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjimat dalam penggunaan air sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

 

“Bagaimanapun, kita tetap berusaha yang terbaik, termasuk melakukan pembenihan awam di kawasan sasaran jika tiada hujan dalam tempoh sebulan ini,” katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Dewan Seri Negeri, di sini, sebentar tadi.

 

Perhimpunan anjuran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri serta Jabatan Kesihatan negeri itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Naim Abu Bakar, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Nazili Mahmood dan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Ghazali Othman. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.