Adam Kecewa Gagal Iringi Khairul Idham Di Podium

KUALA LUMPUR – Di sebalik kejayaan Khairul Idham Pawi memenangi kelas Moto3 di Grand Prix (GP) Argentina, semangat rakan senegara, Adam Norrodin juga harus dipuji.

 

Adam dari pasukan Drive M7 SIC hampir menemani Khairul Idham di pentas podium, namun kemalangan ketika dia sedang bersaing dengan pemenang kedua, Jorge Navarro di saat akhir perlumbaan, jelas merosakkan impiannya.

 

Apapun, semangat Adam, 17, jelas kelihatan ketika itu – menolak motosikalnya menuju ke garisan penamat dengan kesakitan di kaki sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 di Sirkit Termas de Río Hondo itu.

 

“Pada pusingan terakhir, saya lebih pantas daripadanya (Navarro) jadi saya sedar betapa perlunya untuk mencuba menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.

 

“Kami saling memintas beberapa kali di pusingan terakhir jadi apabila tiba di selekoh akhir, saya sedar yang ia adalah peluang terakhir buat saya memintasnya.

 

“Saya berjaya memintasnya tetapi apabila saya memulas pendikit, saya tersasar sedikit. Saya agak marah dengan apa yang berlaku kerana kami sudah menghampiri podium.

 

“Saya sedar yang kutipan mata masih lagi bagus dan saya berterima kasih kepada pasukan kerana sokongan padu mereka.

 

“Saya masih belajar tetapi saya akan mengambil pengalaman daripada apa yang berlaku hari ini. Saya akan cuba yang lebih baik pada masa depan,” kata Adam. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.