Seks Bukan Keutamaan – Aznil

Kuala Lumpur – Pernah berkahwin dan hidup menduda hampir 21 tahun, Datuk Aznil Nawawi mengakui soalan untuk berkahwin lagi tak pernah putus bertandang kepadanya. Malah saban tahun, apabila soalan yang sama diajukan, beliau hanya mampu ketawa manja.

 

Persoalan kahwin itu barangkali sudah terlalu klise untuk dikupas lagi buat pengacara popular program Apa Kata Malaysia itu. Bukan tak pernah terbuka hati untuk bercinta lagi, namun kesibukan kerja seakan membuatkan beliau melupakan perihal berkenaan.

 

“Benar soalan nak kahwin lagi memang tak pernah berhenti diajukan. Hingga saya mendapat pangkat Datuk pun ada yang berseloroh bila lagi saya nak cari Datin. Tapi mencari pengganti atau kekasih itu bukan semudah melafaz A, B, C.

 

“Bukan sewenang-wenangnya jumpa orang dan ajak jomlah kahwin. Pengalaman kahwin dulu banyak mengajar saya untuk jadi lebih berhati-hati. Kerana terlalu sibuk bekerja dan menghabiskan masa di luar, ada hati yang terabai.

 

“Jadi saya akan kasihankan mana-mana wanita di luar sana yang akan keseorangan di rumah atau ditemani anak sahaja. Komitmen kerja saya memang memerlukan bergerak dan terbang ke sana ke mari. Kerjaya saya memang menyukarkan untuk ada komitmen berumah tangga,” katanya yang cukup mesra membahasakan diri sebagai Pak Nil.

 

Tanpa berselindung, Aznil menjelaskan persoalan kahwin itu sesekali bermain di fikiran. Cuma pada satu tahap, Aznil tidak terlalu melayan perasaannya itu.

 

“Kalau balik rumah dan penat sangat serta mengantuk, tidurlah jawapannya. Pada usia saya kini, seks bukan keutamaan. Malah kalau ada yang berkahwin semata-mata kerana seks, saya rasa pelik juga. Ini kerana perkahwinan lebih daripada itu.

 

“Seks hanya sebahagian sahaja. Kasih sayang lebih penting. Macam sekarang kasih sayang saya terus mengalir kepada anak, ibu, keluarga dan kawan. Paling melegakan saya apabila tidak terikat dengan sesiapa ialah tak dihimpit soalan awak kat mana atau balik pukul berapa,” katanya.

 

Saat ini juga Aznil yang pernah mengacarakan Kring Kring dan Tom Tom Bak itu menikmati kehidupan yang diraih seada mungkin.

 

“Tak ada rungutan. Tak ada jodoh, tak kisahlah. Semua aturan Tuhan. Saya reda,” kata hos Apa Kata Malaysia itu.

 

 

PROFIL

* Dicalonkan untuk kategori Pengacara TV Lelaki Popular untuk Anugerah Bintang Popular BH2014 yang kemuncaknya akan diadakan pada 5 April ini di Arena Of Stars, Genting Highlands. Beliau bersaing dengan Datuk AC Mizal, AG Hot FM, Awal Ashaari dan Zizan Razak

 

* Ikon bagi kempen kelolaan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN)

 

* Mendapat kepercayaan HBO Asia untuk mewawancara selebriti di Permaidani Merah Oscar kali ke-87

 

Nota: Artikel di petik dari portal Berita Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.