Proton Yakin Catat Jualan Lebih Tinggi Tahun Ini

Shah Alam – Proton Holdings Bhd yakin dapat mencatat jualan lebih tinggi, iaitu lebih kurang 130,000 unit sepanjang tahun ini, berbanding 115,000 unit pada 2014, susulan penurunan harga kereta selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, sasaran itu turut didorong rekod jualan model Iriz dan Proton yang agak memberangsangkan serta unjuran pertumbuhan industri lebih tinggi, sebanyak dua hingga tiga peratus.

 

“Pada masa sekarang, Iriz menyumbang kira-kira 50 peratus dan Saga pula sebanyak 40 peratus kepada jualan kami,” katanya selepas lawatan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ke Pusat Kecemerlangan Proton, hari ini.

 

Abdul Harith berkata, pengeluar kereta nasional itu dalam proses pulih selepas merekodkan jualan terendah tahun lalu, iaitu kurang daripada 10,000 unit sebulan.

 

“Saya yakin, kita boleh mengatasi jualan 10,000 unit untuk Mac,” katanya sambil menambah, sentimen untuk pasaran eksport juga kekal positif, dengan kira-kira 5,000 unit dijual tahun lalu.

 

Beliau berkata, permintaan tertinggi datang dari Timur Tengah, dengan Persona menjadi model paling popular di rantau tersebut.

 

“ASEAN terus kekal sebagai pasaran paling penting bagi kami,” katanya.

 

Rabu lalu, sempena pelaksanaan GST, Proton mengumumkan harga baru yang menyaksikan pengurangan sehingga RM1,475 atau 3.25 peratus seunit untuk varian terpilih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.