Perlaksanaan GST Kucar-Kacir – Pemuda UMNO

Kuala Lumpur – Pemuda UMNO kecewa kerana pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bermula 1 April lalu kucar-kacir walaupun perancangan telah dibuat sejak dua tahun lalu.

 

Ketua Penerangannya, Jamawi Jaafar berkata, Pemuda UMNO juga tidak puas hati apabila pihak terlibat terutama Kementerian Perdagangan Dalan Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Kastam Diraja Malaysia seperti belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan GST.

 

Katanya, sistem yang digunakan tidak seragam menyebabkan ramai peniaga mengambil kesempatan terhadap pengguna sekaligus menimbulkan tidak puas hati rakyat sejak hari pertama pelaksanaannya.

 

“Pada mulanya rakyat dijanjikan dalam setiap ceramah penerangan tolak SST dan baru tambah GST dalam penentuan harga barang dan perkhidmatan berkenaan.

 

“Tetapi ketika pelaksanaannya, kita mendapat maklumat terutamanya kedai-kedai di luar bandar harga barangan asal masih dicampur dengan SST dan ditambah dengan GST sekaligus menjadikan harga semakin mahal dan terpaksa ditanggung oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

 

Jamawi berkata, dia juga menerima aduan daripada orang kampung yang kecewa kerana peniaga mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan sesuka hati dan menyalahkan kerajaan kononnya ia semua berpunca daripada GST.

 

Katanya, kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah kecil dengan TELCO seperti pertambahan harga kad prabayar juga amat tidak wajar dan boleh membangkitkan kemarahan rakyat.

 

“Sepatutnya pihak TELCO mendengar arahan daripada pihak kerajaan dan bukannya pihak kerajaan yang terpaksa akur dengan keputusan TELCO,” katanya.

 

Dia berkata, kelemahan kerajaan menyelesaikan masalah kecil seperti itu boleh menaikkan kemarahan rakyat lagi apatah lagi dengan kenaikan beribu barangan lain yang lebih kompleks.

 

Justeru, Jamawi mencadangkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa pengurusan krisis bertindak sebagai pusat penerangan, pengumpulan maklumat, aduan dan juga sebagai penampan terhadap sebarang isu yang timbul.

 

“Hanya seorang jurucakap sahaja dilantik untuk memberikan penerangan dan menjawab segala isu yang timbul bagi mengelakkan sebarang percanggahan maklumat,” katanya.

 

Dia menyeru kerajaan bertindak lebih tegas dan tidak tunduk dengan tekanan daripada mana-mana pihak untuk memastikan kredibiliti kerajaan tidak dipermainkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.