NGO Desak Portal TMI Dan Malaysiakini Ditutup

Kuala Lumpur – Susulan perhimpunan kecil yang dibuat di hadapan pejabat portal berita The Malaysian Insider (TMI) Khamis lalu, beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO) mengambil tindakan mengadakan perhimpunan bantahan hari ini.

 

Gabungan NGO, Gerakan Melayu Bersatu Demi Islam hari ini mengadakan ‘flashmob’ untuk menggesa portal berita itu ditutup.

 

Kumpulan itu berkumpul di hadapan pejabat The Edge Communications Bhd, pemilik Malaysian Insider di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada kira-kira jam 11 pagi tadi selepas melakukan ‘flashmob’.

 

Pengerusi gabungan, Ariffin Abu Bakar berkata lanjutan daripada bantahan yang dibuat oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM), mereka berpendapat perlu menggesa pihak berkuasa supaya menutup portal berita itu.

 

“Jelas sekali TMI telah memfitnah Majlis Raja-Raja dengan berkata bahawa ia menolak hudud.

 

“Kami tidak mahu perkara ini menyebabkan keadaan huru hara. Negara ini negara aman, Kami percaya ada penaja yang menaja mereka tetapi kami tidak tahu siapa mereka,” dakwa Ariffin.

 

Tambahnya, ‘flashmob’ hari ini merupakan gabungan dengan NGO lain, Eratkan Perhubungan Antara Negeri Cetuskan Organisasi (EPANCO).

 

“Gabungan ini ditubuhkan sebagai kumpulan memberi tekanan. Untuk memberi tekanan kepada kerjaaan melaksanakan undang-undang,” kata Ariffin menjelaskan fungsi gabungan berkenaan.

 

Tidak lama selepas itu, kumpulan itu bergerak ke pejabat Malaysiakini, di mana satu lagi ‘flashmob’ diadakan.

 

Kumpulan itu mendakwa portal tersebut memutarbelit berita, memecahbelahkan rakyat Malaysia, dan mengelirukan orang muda.

 

“Malaysiakini suka pusing cerita, kita tidak mahu bila pusing cerita, boleh jadi perbalahan kaum.. Kita suruh mereka jangan jadi organ politik.

 

“Kita minta kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan sekeras-kerasnya… supaya Malaysiakini ditutup,” kata pengerusi gabungan itu, Ariffin Abu Bakar

 

“Kebanyakan cerita yang kita tengok, ia mengelirukan anak-anak muda, contohnya GST,” katanya.

 

Beliau berkata, gabungan itu juga akan membuat laporan polis terhadap Malaysiakini tidak lama lagi.

 

Mereka turut membawa sepanduk bertulis ‘Malaysiakini pencetus perbalahan kaum’, ‘Malaysiakini stop spinning’, dan ‘Hormati Raja Melayu’ dan melaungkan ‘Tutup Malaysiakini’.

 

Mereka mengakhir protes itu dengan menyuarakan sokongan mereka kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Khamis lalu JMM dan EPANCO mengetuai kumpulan kecil kurang daripada 20 peserta untuk mengadakan bantahan di hadapan pejabat The Edge Communications Bhd.

 

Bantahan dibuat selepas polis menahan Editor Pengurusan TMI, Lionel Morais, Editor Bahasa Malaysia Amin Shah Iskandar dan Editor Analisis Zulkifli Sulong serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Editor Jahabar Sadiq dan penerbit The Edge, Ho Kay Tat kerana menerbitkan laporan di portal berita itu mengenai Majlis Raja-Raja menolak hudud dan kenyataan Perdana Menteri mengenai Akta Hasutan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.