Kesihatan YDP Agong Tak Membimbangkan – MB Kedah

Alor Setar – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN), menurut Istana Negara. 

 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Awang Kechik Abdul Rahman berkata kesihatan baginda adalah baik.

 

“Istana Negara mengucapkan terima kasih atas keprihatinan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Seri Paduka Baginda Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

 

Sementara menurut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir keadaan kesihatan Tuanku Abdul Halim yang juga Sultan Kedah, adalah stabil dan tidak membimbangkan.

 

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak sihat (ini) biasa sahaja. Tidak seteruk yang digembar-gemburkan melalui SMS yang saya tidak pasti dari mana datangnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Anak Yatim Baitul Zainab sebelum ini.

 

Mukriz berkata doa ke atas kesihatan dan kesejahteraan Sultan Kedah adalah perkara biasa yang dilakukan dan sentiasa disyorkan di kalangan rakyat Kedah.

 

“Tetapi tidak perlu sampai tahap panik, kerana kita mempunyai doktor-doktor yang sentiasa menjaga kesihatan baginda.

 

“Dalam pengetahuan saya, keadaan baginda stabil dan tidak membimbangkan,” kata Mukhriz ketika mengulas khabar angin tersebar semalam yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan gering.

 

Terdahulu, dalam kenyataan yang dikeluarkan di Alor Star, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Puat Mohd Ali menafikan khabar angin yang disebarkan pihak tertentu kononnya Yang di-Pertuan Agong sedang gering.

 

Mohd Puat melahirkan rasa dukacita kerana ada pihak tertentu yang berniat jahat dan bersifat jahil menyebarkan fitnah Seri Paduka gering dan rebah di istana.

 

“Berita ini timbul apabila ada permintaan supaya diadakan majlis bacaan Yasin bagi mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Duli Tuanku di Kedah.

 

“Majlis bacaan Yasin ini lazim diadakan di Kedah kerana rakyat Kedah menyayangi Duli Tuanku,” katanya.

 

Mohd Puat turut mendoakan semoga Allah SWT menganugerahkan Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah umur yang panjang dan sihat sejahtera. – Bernama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.