Jamaluddin Jarjis, Azlin Alias Kehilangan Besar Kepada Negara – PM

Semenyih – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan siasatan rapi dilakukan dari segala aspek supaya punca tragedi dapat dikenal pasti berhubung nahas helikopter terhempas yang mengorbankan nyawa enam penumpang di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih, di sini hari ini.

 

Katanya, berdasarkan kepada maklumat yang boleh dipercayai tragedi ini membawa kehilangan dua orang yang begitu besar sumbangan kepada kerajaan, parti dan negara.

 

“Bagi saya, satu kehilangan amat besar kerana Tan Sri Jamaluddin Jarjis sejak zaman universiti, dalam sejarah perjuangan kerjaya politik, kami amat rapat dalam satu bahagian, satu pentadbiran dan penasihat khas Jabatan Perdana Menteri (JPM).

 

“Dia juga mempunyai ramai kenalan dalam kerajaan sebagai Duta Khas di Washington, juga memainkan peranan mengukuhkan hubungan dengan AS dan Malaysia.

 

“Saya anggap Tan Sri berkebolehan tinggi, banyak jasa kepada parti dan negara. Dia juga banyak beri pandangan dan nasihat. Kehilangan beliau satu tragedi besar. Saya amat sedih dengan apa yang berlaku,” katanya yang ditemui pemberita di lokasi kejadian yang turut dihadiri Datin Seri Rosmah Mansor, anaknya Najwa dan suami.

 

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat.

 

Ketika ditanya mengenai kehilangan Ketua Setiausaha Sulitnya, Datuk Azrin Alias, Najib melahirkan rasa sedih dengan kejadian ini sambil berharap kesemua keluarga mangsa nahas tabah dan bersabar.

 

“Azrin amat rapat dengan saya membantu urusan dalam kerajaan dan secara peribadi. Beliau bersetuju tinggalkan kerjayanya dalam korporat untuk berkhidmat dengan kerajaan.

 

“Satu kehilangan besar. Harap keluarga mangsa-mangsa nahas ini tabah sabar dalam dugaan. Saya dan semua rakan-rakan berdoa apa yang telah berlaku.

 

Najib juga menyarankan agar musibah ini memberi contoh supaya lebih bersatu dalam memperjuangkan untuk kepentingan bangsa, agama dan negara.

 

Enam penumpang dalam nahas helikopter jenis S365 yang terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih berjaya ditemui oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor.

 

Pengarahnya, Othman Abdullah berkata lima penumpang dijumpai dalam satu kumpulan manakala seorang lagi ditemui terhempap di bawah rangka helikopter.

 

“Kesemua mayat yang dijumpai dalam keadaan sempurna tetapi terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

 

Menurut Othman, helikopter tersebut dalam perjalanan dari Pekan, Pahang menuju ke Subang, melalui kawasan Mines sebelum terputus hubungan.

 

“Helikopter dipercayai meletup di udara dan punca sedang dikenal pasti,” jelasnya.

 

Kesemua mayat mangsa nahas dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.