Gerhana Bulan Penuh Paling Singkat Abad Ke-21

Bukit Jelutong – Kira-kira 1,000 pengunjung bertumpu di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang berada di puncak gerhana pada jam 8 malam tadi.

 

Pemilik portal Falak Online, Shahrin Ahmad, berkata, gerhana bulan penuh itu dapat dilihat di Malaysia dan di negara-negara sekitar Asia Tenggara.

 

“Secara tepatnya, gerhana ini bermula pada jam 5.01 petang. Bulan ketika itu baru memasuki kawasan bayang-bayang yang dipanggil penumbra.

 

“Pada jam 6.15 petang, ia akan memasuki kawasan bayang-bayang umbra dan jam 7.57 petang, bulan akan sepenuhnya berada dalam bayang-bayang umbra, menandakan bermulannya fasa gerhana penuh.

 

“Selang dua minit kemudian, iaitu jam 8.02 malam, ia mula bergerak keluar dari bayang-bayang umbra dan pada jam 9.44 malam, bulan sepenuhnya keluar dari bayang-bayang umbra tetapi masih berada dalam kawasan penumbra, sehinggalah jam 10.58 malam, yang mana secara rasminya, bulan telah pun keluar sepenuhnya dari kawasan bayang-bayang bumi penumbra,” katanya kepada The Rakyat Post.

 

Menurutnya, gerhana bulan penuh akan berlaku sekali lagi pada bulan September 2015 tetapi kita di Malaysia tidak berpeluang menyaksikannya kerana ia hanya akan kelihatan di sekitar kawasan hemisfera barat.

 

Bagaimanapun, pada 31 Januari 2018, rakyat Malaysia dan mereka yang tinggal di sekitar Asia Tenggara, sekali lagi berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh.

 

Untuk gerhana matahari penuh pula, Shahrin berkata, fenomena tersebut hanya dapat disaksikan pada tahun 2042 tetapi rakyat Malaysia dapat menyaksikan fenomena gerhana matahari separa pada 9 Mac 2016.

 

Beliau berkata, kesan gerhana bulan penuh tidak dapat diperhatikan hari ini memandangkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan berawan. Tambahan pula, dengan cahaya neon dari ibu kota, menyukarkan lagi aktiviti mencerap.

 

Bagaimanapun, orang ramai masih berpeluang menyaksikan fenomena tersebut menerusi tayangan klip video yang diambil dari pencerap yang berada di luar negara.

 

“Walau keadaan tidak mengizinkan, orang ramai masih berpeluang menyaksikan warna kemerahan bulan disebabkan cahaya matahari yang bergerak berhampiran dengan bumi menerusi klip video.

 

“Cahaya yang telah dibiaskan oleh atmosferanya itu dikenali sebagai cahaya spektrum berwarna merah lebih banyak terbias berbanding warna lain. Itulah sebabnya kita boleh lihat kesan kemerahan ketika fasa gerhana penuh,” katanya.

 

Jelasnya, julat waktu fasa gerhana penuh (iaitu ketika bulan sepenuhnya berada dalam bayang-bayang umbra) agak pendek, iaitu kurang lima minit.

 

“Malah, untuk gerhana 4 April 2015 ini, ia merupakan yang paling pendek untuk kurun ke-21 kerana laluan bulan merentasi bayang-bayang bumi kali ini betul-betul di penjuru luar sempadan umbra.

 

“Maka, durasi ia berada dalam kawasan umbra ini amat singkat. Disebabkan gerhana sudah pun bermula ketika ia terbit pada waktu Maghrib, maka bulan akan berada rendah di ufuk sebelah timur,” katanya.

 

gerhana bulan 2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.