Isu Cek RM1.4 Juta: Rameli Musa Memang Kawan Rapat Anwar

KUALA LUMPUR – Mohamad Ezam Mohd Nor hari ini membuka mulut, mendakwa Datuk Rameli Musa, individu yang bertanggungjawab membayar RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report, Claire Newcastle Brown adalah kenalan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamad Ezam yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Anwar dari tahun 1996 hingga 1998 berkata, beliau merasa bertanggungjawab atas prinsip keadilan dan kebenaran untuk membetulkan fakta yang jelas salah dan dipesongkan mungkin atas niat jahat terhadap seorang yang bernama Rameli.

“Beberapa hari ini nama (Datuk) Rameli Musa timbul atas isu yang semua sedia maklum hari ini.

“Saya tidak berhajat mengulas mengenai isu tersebut kerana saya tidak terlibat dan tidak mengetahui hujung pangkal perkara.

“Saya kenal Rameli Musa kira-kira 20 tahun lalu di awal perjuangan Reformasi pada tahun 1998 menerusi Anwar yang pada masa itu merupakan bos saya,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Katanya, beliau menjadi Setiuasaha Politik Anwar pada tahun 1996 dan 1999 diminta oleh bosnya membantu Datin Seri Dr, Wan Azizah menubuhkan Parti Keadilan Nasional (PKR).

Jelas beliau, Rameli diperkenalkan kepadanya oleh Anwar sebagai kawan rapat beliau sejak belajar satu batch di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada 1960-an.

“Anwar beritahu saya, Rameli telah menyatakan kesediaan membantu keperluan keluarga dan perjuangan atas dasar persahabatan dan simpati beliau kepada nasib yang menimpanya dan keluarga.

“Setelah Anwar dipenjarakan, saya diminta oleh Rameli menyalurkan segala keperluan keluarga kepada Dr Wan Azizah. Adakalanya Dr. Wan Azizah sendiri berjumpa Rameli bagi tujuan yang sama.

“Dalam pengetahuan saya, banyak sumbangan Rameli kepada keluarga dan perjuangan khususnya semasa Anwar dipenjara,” ujarnya.

Mohamad Ezam berkata, antara sumbangan Rameli ialah membiayai keperluan keluarga Anwar dan Dr. Wan Azizah termasuk kos perubatan abang kepada Anwar, Allahyarham Mokhtar Ibrahim di luar negara ketika itu.

Katanya, Rameli juga turut membiayai kos guaman Anwar khususnya peguam utama beliau, mendiang Christopher Fernando dan lain-lain.

Selain itu, ahli perniagaan ini juga menyediakan wang jaminan ratusan reformis yang ditahan di era reformasi melalui seorang yang dikenali oleh para reformis sebagai Prince Reformasi.

“Ini termasuk menyediakan keperluan perbelanjaan PKR dalam pelbagai aktiviti menerusi bekas Bendahari Agung parti, Allahyarham Ramli Ibrahim dan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehudin Hashim.

“Dia juga membiayai wang deposit calon parti dalam PRU ke-11 tahun 2004 melalui Bendahari Agung PKR ketika itu Datuk Kamarul Baharin.

“Sebahagian besar daripada pembiayaan itu diterima oleh Dr. Wan Azizah yang ketika itu merupakan Presiden PKR dan hari ini merupakan Timbalan Perdana Menteri,” dedah beliau.

Menurut Mohamad Ezam lagi, dalam pengetahuannya, Rameli juga membiayai kos sara hidup pimpinan ABIM yang kehilangan pekerjaan pada era reformasi untuk beberapa tahun.

“Antara tokoh itu adalah Dr. Mohd Nur Manuty dan Dr. Mohd Nor Nawawi walaupun pernah dimarahi oleh Anwar dan diarah dihentikan atas sebab-sebab politik.

“Atas rasa simpati dan persahabatan yang lama dalam ABIM, Rameli teruskan juga bantuan itu.

“Dalam pengetahuan saya juga, Rameli pernah membantu ramai tokoh politik lain yang pada saat itu menghadapi kesukaran hidup, antaranya tokoh dalam Parti Amanah Nasional (PAN), Pas, PKR dan termasuk juga UMNO,” katanya.

Katanya, beliau menyatakan secara terbuka hakikat itu atas prinsip kebenaran dan keadilan serta rasa terkilan kerana seorang yang budiman seperi Rameli difitnah tanpa pembelaan sewajarnya, khususnya daripada mereka yang pernah mendapat bantuan ikhlas beliau.

“Saya ingin mengingatkan kawan politik saya dahulu untuk menjunjung prinsip moral dan jangan keghairahan kepada kuasa menyebabkan kita menghumban prinsip moral dengan menfitnah seorang sahabat yang banyak menolong kita dalam perjuangan tanpa mendapat apa-apa imbuhan.

“Keihlasan beliau jelas kerana beliau menolong sahabat di saat sukar dan di saat mereka tidak mempunyai kuasa, justeru, tidak timbul unsur rasuah.

“Saya juga nasihatkan kepada Rafizi Ramli yang pada ketika awal perjuangan reformasi masih di bangku sekolah, untuk berhati-hati dan jangan bermain dengan api,” katanya.

Katanya, beliau tidak mahu diheret dalam perdebatan politik kerana dirinya bukan lagi ahli politik, apatah lagi perdebatan politik hari ini hanya penuh dengan sampah kerakusan harta dan kuasa tanpa pertimbangan moral serta akhlak.

“Saya hanya ingin memberikan keadilan kepada seorang insan yang banyak berjasa kepada saya dan perjuangan,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.