Isteri dan Anak CEO Cradle Fund Ditahan, Didakwa Petang Ini

PETALING JAYA – Polis menahan isteri bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Samirah Muzzaffar dan 2 anaknya berhubung kes pembunuhan Nazrin Hassan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Selangor, Fadzil Ahmat berkata ketiga-tiga suspek ditahan di rumah mereka pada jam 6.45 pagi tadi.

“Pertuduhan akan dibuat jam 2 petang ini di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor.

“Pihak Jabatan Peguam Negara mengeluarkan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan ke atas Samirah Muzaffar dan 2 anak lelakinya yang masing-masing berumur 15 tahun dan 17 tahun dan seorang lagi yang masih bebas,” katanya.

Minggu lalu, Fadzil berkata punca sebenar Nazrin masih dalam siasatan polis selepas laporan bedah siasat ke-2 diterima minggu sebelumnya.

Nazrin, 45, ditemui mati pada 14 Jun 2018 dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.

Pihak berkuasa pada mulanya menyatakan Nazrin meninggal dunia akibat letupan telefon bimbit yang dicas di tepi katil.

Bagaimanapun, polis mengesyaki Nazrin dibunuh selepas siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat mencadangkan kemungkinan berlaku perbuatan khianat.

Jenazah Nazrin digali semula pada Oktober lalu untuk bedah siasat ke-2 dan isteri serta bekas suami isterinya turut disoal siasat polis.

Pada 4 Sept 2018, Samirah direman 7 hari bagi membantu siasatan kematian suaminya. Manakala, 2 anak tiri Nazrin ditahan 4 hari kemudian. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.