Bimbang PKR Kalah Awal, MPKK Dun Rantau Tolak Dr Streram Jadi Calon Sekali Lagi

REMBAU – Seramai 11 pengerusi dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S. Streram sebagai calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut.

Mereka mendakwa, PH akan kalah lebih awal jika kepimpinan gabungan itu masih bertegas untuk mencalonkan pakar bius itu.

Pengerusi MPKK Kuala Sawah, Abdul Ghani Md Yusop berkata, kepimpinan PH negeri perlu mengambil kira suara akar umbi dalam pertimbangan memilih calon yang tepat bertanding kerusi itu.

“Saya sendiri bertanya kepada penduduk di kawasan saya dan ramai yang tidak bersetuju jika Streram dipilih sebagai calon.

“Penolakan Streram sebagai calon bukan bermakna kami menentang kepimpinan tapi sebagai pemimpin MPKK, kami berhak bersuara dan memberi pandangan dalam usaha memenangi kerusi yang dimenangi bekas Menteri Besar selama tiga penggal,” katanya dalam sidang akhbar di Rantau dekat sini semalam.

Beliau mendakwa, Streram yang juga Penyelaras DUN berkenaan tidak pernah membantu MPKK atau turun padang menyelesaikan masalah rakyat.

Setiausaha MPKK Sendayan, Osman Mohd Ramli berkata, beliau sendiri tidak akan mengundi PKR sekiranya Streram dipilih bertanding dalam PRK tersebut.

Menurutnya, ia isyarat jelas kepada kepimpinan PH bahawa mereka bukan sekadar bercakap kosong untuk menolak Streram.

“Kami juga tidak akan menggerakkan jentera bawah MPKK untuk membantu beliau.

“Rugi jika hendak boikot dengan tidak keluar mengundi. Lebih baik saya pilih Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan),” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.