Tinjauan Mesra PM Di Pasar Tamu Putatan

PUTATAN – Pengalaman bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak yang singgah membeli kuih di gerainya menjadi kenangan manis kepada peniaga di Tamu Mingguan Putatan, Aminah Manan, 44.

“Saya tak sangka Perdana Menteri yang hanya dilihat di televisyen selama ini akhirnya ada di depan mata.

“Perdana Menteri membeli cucur cempedak dan pisang goreng. Saya beritahu kuih itu saya beri percuma tetapi Perdana Menteri mahu juga membayar,” katanya ketika ditemui selepas Najib singgah di gerainya sempena program tinjauan mesra di Tamu Putatan di sini, hari ini.

Aminah yang berasal dari Papar dan berniaga di situ sejak lima tahun lalu berkata, Perdana Menteri sempat bertanya jenis kuih yang dijual di gerainya.

Terdahulu, Najib memandu sendiri kenderaan rasmi jenis Range Rover ke tamu itu dengan ditemani Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang duduk bersebelahan dan tiba pada jam 4.10 petang tadi.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin bersama pemimpin masyarakat dan penduduk daerah itu.

Najib meluangkan masa kira-kira sejam melakukan tinjauan mesra termasuk minum petang bersama pemimpin masyarakat di daerah berkenaan.

Pagi tadi, Najib merasmikan upacara pecah tanah projek menaik taraf Jalan Sindumin-Kampung Melalia, Lebuhraya Pan Borneo Sipitang. Perdana Menteri dan isteri dijadual pulang ke Kuala Lumpur malam ini, selepas mengadakan lawatan dua hari ke Sabah. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.