Kalah Dengan JDT, Pahang Masih Teratas Liga Super

JOHOR BARU — Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengekalkan rekod bersih di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Larkin selepas menewaskan pendahulu Liga Super Pahang 3-2 pada perlawanan Liga Super di sini malam tadi.

Perlawanan di separuh masa pertama bermula rancak dengan beberapa percubaan berbahaya daripada kedua-dua pasukan dan pemain import Pahang Sumareh Mohamadou hampir membuka jaringan pada minit ketiga namun berjaya dipatahkan oleh penjaga gol JDT Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Asakan berterusan Tok Gajah akhirnya membuahkan hasil apabila sepakan Matheus Alves Leandro gagal diselamatkan Mohd Izham pada minit ke-14 untuk meletakkan Pahang di depan 1-0.

Pasukan JDT dihadiahkan sepakan penalti setelah sepakan percuma Kapten pasukan Safiq Rahim terkena tangan pemain Pahang Mohd Afif Amiruddin pada minit ke-27.

Kegagalan penjaga gol Pahang Wan Muhd Azraie Wan Teh menepis dengan baik sepakan penalti Safiq membawa padah apabila ia disambar oleh penyerang JDT, Ahmad Hazwan Bakri yang kemudiannya menjaringkan gol pertama JDT pada minit ke-29.

JDT menggandakan jaringan selang enam minit kemudian hasil hantaran daripada Gonzalo Gabriel Cabrera yang disempurnakan oleh Ahmad Hazwan Bakri.

JDT menambah derita Tok Gajah apabila hantaran S Kunanlan pada minit ke-55 berjaya disudahkan oleh Safiq untuk gol ketiga Harimau Selatan.

Pasukan Tok Gajah cuba merapatkan jurang jaringan apabila Matheus Alves sekali lagi menggegar jaring JDT untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Pahang meneruskan asakan untuk memburu gol penyamaan namun kekebalan kubu JDT berjaya mematahkan usaha itu.

Pahang masih kekal mendahului Liga Super dengan 16 mata mengatasi Kedah di kedudukan kedua dengan mengumpul 15 mata dan JDT melonjak ke tangga ketiga dengan 14 mata. — Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.