PKR Gantung Chegubard Kerana ‘Memalukan Parti’

Seremban – PKR bertindak menggantung bekas Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham atau Chegubard selepas aktivis itu sering mengkritik beberapa pemimpin parti itu, termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

 

Chegubard berkata beliau dimaklumkan mengenai penggantungan itu menerusi surat rasmi yang dihantar ibu pejabat PKR.

 

“1 Mac 2016 saya menerima surat dimana saya dihukum ‘gantung’ oleh PKR dengan 10 pertuduhan kononya saya memalukan parti.

 

“Saya juga dikehendaki menjawab surat tunjuk sebab dalam masa 14 hari. Persoalanya ialah saya yang menegur dan berusaha memastikan parti ini bersih dan mampu memperbaiki diri dilihat memalukan tetapi yang membazir dan lemah tatakelola pentadbiran dipelihara?

 

“Gantung itu satu hukuman dan saya dihukum tanpa saya dipanggil membela diri ? adakah ini perlembagaan parti dan adakah perlembagaan parti mengiktiraf undang – undang ala ISA, hukum dulu baru siasat?,” soal Chegubard ketika sidang medianya di Seremban, hari ini.

 

Chegubard juga memberitahu beliau diarahkan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) untuk hadir memberi kenyataan bersabit pendedahan dokumen ‘rahsia’ (OSA) milik kerajaan negeri Selangor berhubung tander kayu balak di negeri itu.

 

“Nampaknya tiada beza apa yang saya depani apabila membongkarkan salahguna kuasa pemimpin BN dengan perkara yang saya hadapi sekarang ini,” ujarnya lagi.

 

Terdahulu Chegubard mendedahkan dokumen OSA bersabit tander kayu balak yang diberikan kepada pemaju tanpa melalui tander terbuka.

 

Perkara itu dinafikan Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR dan mencabar Chegubard mengemukakan bukti.

 

“20 Januari 2016 telah dikeluarkan amaran oleh PKR untuk berdiam sementara semua siasatan selesai.

 

“Pada 18 Febuari 2016 saya mendapat makluman rasmi menyatakan berkenaan isu agihan zakat dan DEIG dianggap selesai kerana Azmin telah dipanggil memberikan penjelasan. Manakala berkenaan dokumen rahsia ia diluar bidang kuasa parti dan dengan itu aduan saya ditutup,” jelasnya.

 

Chegubard berkata beliau dan rakan-rakan dalam Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebelum ini konsisten menbongkar dan menegur salah urus tadbir PKR.

 

Matlamatnya untuk memastikan ketelusan dan PKR bebas daripada amalan penyelewengan kuasa.

 

“Saya keluar (buat kenyataan) ke media mengasak pembaziran harta rakyat dihentikan setelah semua proses dalaman tak memberikan kesan…dihukum sebegini,’ ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.