Video: Pesawat Turkish Airlines Nyaris Terhempas Sewaktu Mendarat

Katmandu – Sebuah pesawat Turkish Airlines hari ini berdepan detik cemas apabila tersasar dari landasan sewaktu mendarat di lapangan terbang Kathmandu, Nepal dan berakhir di kawasan rumput.

 

Dalam insiden tersebut, kesemua 224 penumpangnya dikerah untuk meninggalkan pesawat dengan segera.

 

Pegawai penerbangan berkata, tiada penumpang atau anak kapal yang cedera dalam kejadian tersebut, walaupun seorang saksi menceritakan suasana panik apabila penumpang meninggalkan tempat duduk dalam keadaan kelam-kabut kerana ruang kabin dipenuhi asap selepas pesawat terhenti.

 

 

Menurut seorang jurucakap, Purna Prasad Chudal, lapangan terbang berkenaan kini ditutup kecuali untuk pendaratan helikopter.

 

Chudal berkata, juruterbang pesawat itu telah tersilap percaturan sewaktu percubaan awal untuk mendarat, sebelum membuat percubaan kedua yang akhirnya menyaksikan pesawat itu tersasar.

 

“Ketika pesawat hendak mendarat, kedudukannya telah terganjak dari landasan dan berakhir di kawasan padang rumput. Kesemua 224 penumpang telah Berjaya dikeluarkan, tiada kecederaan, semua selamat,” ujar pengurus besar lapangan terbang berkenaan, Birendra Prasad Shrestha.

 

Media sosial telah dibanjiri gambar-gambar pesawat dengan muncungnya yang terbenam ke tanah, sementara akhbar tempatan melaporkan bahawa gear pendaratan pesawat mengalami kerosakan.

 

Dikesh Malhotra, yang baru pulang dari lawatan bisnes, memberitahu impak pendaratan cemas itu membuatkan beg-beg dalam ruang simpanan barang jatuh ke atas kepala penumpang yang ketakutan namun kaku di tempat duduk masing-masing untuk menunggu pesawat berhenti bergerak.

 

“Kami dapat rasakan tayar yang tergelincir. Dari tempat duduk, saya dapat lihat seorang pramugari menangis.

 

“Sejurus pesawat terhenti, asap memenuhi kabin dan menyukarkan pernafasan. Semua orang bingkas bangun dan menjerit agar pintu kecemasan segera dibuka. Akhirnya mereka mengumumkan evakuasi dan kami sangat lega,” ujar Malhotra, 28.

 

Chudal memberitahu, pihak berkuasa akan menjalankan siasatan mengenai insiden itu termasuk menyoal siasat juruterbang.

 

Pesawat tersebut mendapat izin untuk mendarat. Walaupun keadaan agak berkabus namun jarak pandangan adalah baik. Kami tidak pasti bagaimana hal ini berlaku,” kata Chudal.

 

Beberapa landasan kapal terbang di kawasan Himalaya dikenal pasti sebagai antara yang terpencil dan sukar di dunia, malah dikelilingi landskap puncak-puncak gunung bersalji. Ia memberi cabaran walaupun bagi juruterbang yang berpengalaman.

 

Siri insiden kapal terbang yang terhempas serta keputusan Kesatuan Eropah untuk menyenarai hitam semua penerbangan Nepal telah membuatkan kerajaan pengumuman perancangan untuk memasang radar dan sistem pemantauan cuaca yang baharu.

 

Dalam insiden terakhir pada Februari lalu, 18 orang terkorban apabila sebuah pesawat Nepal Airlines melanggar tebing bukit di di wilayah barat negara itu sewaktu hujan lebat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.