Tukar Batalion PGA Cegah Rasuah Di Sempadan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal mengambil tindakan drastik dengan menukar bata­lion Pasukan Gerakan Am (PGA) sedia ada yang bertugas di sempadan negara dengan beberapa batalion lain dalam tempoh terdekat.

 

Sebelum ini, dua batalion iaitu Batalion 3 dan Batalion 18 yang ditugaskan mengawal pintu sempadan negara tidak melalui proses pertukaran keseluruhan sebaliknya hanya bergilir-gilir bertugas sesama anggotanya.

 

Bagaimanapun, berikutan penahanan pegawai dan anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) serta PGA oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, tugas mengawal sempadan akan dipertanggungjawabkan kepada batalion lain dengan melibatkan pertukaran berkala.

 

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim membe­ritahu, pihaknya memandang serius terhadap salah laku membabitkan rasuah itu dan tindakan tegas akan diambil.

 

“Tugas di sempadan dilaksanakan oleh Batalion 3 dan Batalion 18 yang kebanyakannya terdiri daripada anggota Orang Asli dan pusingan tugas setiap sebulan sekali dilakukan antara mereka sahaja.

 

“Disebabkan ada laporan berhubung salah laku rasuah ini, kita mengambil keputusan untuk me­laksanakan penggiliran melibatkan batalion lain sebagai salah cara untuk membanteras perkara ini dan mengelakkan kejadian berulang.

 

“Buat masa ini kita akan kerahkan Batalion 1 untuk berkhidmat di sana dan selepas ini diganti de­ngan batalion lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

 

Fuad menjelaskan, mekanisme terbaharu itu dilaksanakan supaya setiap penguat kuasa sempadan tidak terlalu lama berada di satu-satu kawasan sehingga membuka jalan terhadap kejadian rasuah.

 

Semalam, SPRM menahan 13 penguat kuasa daripada UPP dan PGA di Perak dan Kedah kerana disyaki terbabit dalam sindiket melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan petrol ke negara jiran.

 

Turut ditahan, seorang bekas pegawai UPP berpangkat Asisten Superintenden dan seorang awam yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan terbabit.

 

Kata Fuad, kejadian rasuah melibatkan penguat kuasa polis di pintu sempadan hanyalah sebilangan kecil namun perbuatan itu tetap mencalarkan imej PDRM.

 

“Kita sebenarnya sering memberi ingatan kepada mereka ini terutamanya kepada Komander supaya berhati-hati dan beringat-ingat agar tidak terjebak dengan perkara seumpama itu.

 

“Namun jenayah sebegitu tetap terjadi meskipun hanya dilakukan sebilangan kecil. Kita tetap memandang serius perkara ini dan akan lakukan sebarang perkara yang boleh mencegah kejadian itu berulang,” ujarnya.

 

Ditanya tentang perkembangan kes berkenaan, beliau memberi­tahu, pihaknya tidak akan mengganggu siasatan SPRM dan akan menunggu laporan penuh daripada agensi terbabit untuk tindakan lain seperti tatatertib. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.