Tiada Siapa Berkuasa Izin Anwar Hadir Parlimen – Bekas Peguam Negara

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dapat menghadirkan diri ke sidang Dewan Rakyat minggu depan kerana tiada sesiapa mempunyai kuasa untuk mengarahkan pihak penjara membenarkannya ke Parlimen, kata bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman.

 

Bekas penasihat undang-undang kerajaan itu berkata, speaker Dewan Rakyat atau menteri dalam negeri tidak mempunyai kuasa daripada segi undang-undang untuk mengarahkan kehadiran Anwar ke Parlimen.

 

“Saya tidak rasa undang-undang dipinda untuk membolehkan speaker dan menteri mengarahkan ahli Parlimen yang didapati bersalah menghadiri prosiding,” katanya.

 

Talib berkata, Anwar dijatuhkan hukuman oleh mahkamah selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.

 

“Beliau dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun,” katanya, kepada The Malaysian Insider, sebagai respons terhadap dakwaan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengelak tanggungjawabnya memutuskan sama ada membenarkan Anwar hadir sidang Parlimen atau tidak.

 

Beliau berkata, speaker hanya berkuasa semasa sidang dan kuasanya diperuntukkan dalam Perlembagaan dan perintah tetap.

 

“Ia menjangkaui kuasa speaker mengarahkan jabatan penjara membenarkan Anwar, yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh menghadiri sidang harian Parlimen,” tambahnya.

 

Dalam kenyataan bersama semalam, peguam Latheefa Koya dan N Surendran berkata berdasarkan undang-undang Zahid selaku pihak berkuasa terakhir boleh memutuskan sama ada Anwar boleh menghadiri sidang Parlimen yang bermula 9 Mac depan, atau tidak.

 

Zahid pada Isnin berkata, Lembaga Pengampunan, peguam negara, dan speaker yang boleh membuat keputusan berkenaan.

 

“Kenyataan Zahid mengejutkan, tidak komprehensif dan bercanggah dengan Akta Penjara 1995,” kata mereka.

 

Mereka merujuk Seksyen 13(1) Akta Penjara yang menyatakan ketua pengarah jabatan penjara “perlu bertanggungjawab” kepada menteri untuk pemerhatian peruntukan dalam undang-undang.

 

Mereka juga mengkritik cadangan Zahid agar menunggu sehingga Lembaga Pengampunan membuat keputusan terlebih dulu kerana isu itu tidak timbul sama sekali.

 

Mereka juga menyelar Zahid memberikan respons terhadap permohonan mereka kepada media dan tidak melalui mereka secara langsung.

 

Peguam Anwar menulis surat kepada Zahid pada 25 Februari untuk mengarahkan jabatan penjara mengiringi Anwar menghadiri sidang Dewan Rakyat.

 

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan protes sekiranya Anwar dilarang menghadiri sidang Parlimen.

 

Meskipun tidak menyatakan jenis protes yang dimaksudkannya, Rafizi mengesahkan partinya dan sekutu PR DAP dan PAS akan mengambil tindakan berkenaan perkara itu.

 

“Ada rancangan tertentu terhadap keputusan yang tidak adil dikenakan terhadap Anwar yang akan dilakukan ahli Parlimen PR,” katanya.

 

Talib, yang merupakan peguam negara selama 13 tahun sehingga 1993 berkata, Anwar boleh menghadirkan diri ke Parlimen sekiranya diberikan pengampunan.

 

Beliau berkata, demi kepentingan pengundi Permatang Pauh, Lembaga Pengampunan seharusnya bersidang secepat mungkin untuk menyelesaikan perkara itu.

 

“Penduduk Permatang Pauh tidak seharusnya dipinggirkan daripada mempunyai wakil di Dewan Rakyat,” katanya.

 

Beliau berkata, menghadiri sidang Dewan Rakyat merupakan salah satu tugas wakil rakyat yang dipilih.

 

Lebih penting lagi, wakil rakyat yang dilantik perlu berkhidmat di kawasannya, katanya.

 

Talib berkata, memandangkan speaker memutuskan untuk tidak mengumumkan kekosongan kerusi, lebih adil sekiranya lembaga bertindak terhadap petisyen yang diserahkan secepat mungkin.

 

“Perlu ditetapkan tarikh yang sesuai untuk persidangan Agong,” katanya.

 

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 24 Februari mengumumkan Anwar masih kekal sebagai ketua pembangkang dan ahli Parlimen Permatang Pauh sehingga petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong menerima maklum balas.

 

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan anaknya, Nurul Izzah Anwar menyerahkan petisyen kepada lembaga pengampunan di Istana Negara sejurus sebelum tempoh 14 hari diberikan tamat.

 

Pada 10 Februari lalu, hakim lima panel diketuai Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.

 

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium di Desa Damansara di Bukit Damansara pada 26 Jun, 2008.

 

Rayuan pengampunan Anwar akan dipengerusikan Yang Dipertuan Agong dan anggota lembaga pengampunan terdiri daripada Menteri Wilayah Persekutuan, peguam negara, dan dua yang lain. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.