Syarikat Penerbangan Berhenti Bawa Bateri Lithium-ion

Kuala Lumpur – United Airlines menjadi syarikat penerbangan kedua Amerika Syarikat (AS) mengumumkan untuk berhenti membuat penghantaran pukal bateri litium-ion. Februali lepas, Delta Airlines berhenti berbuat demikian.

 

“Kebimbangan utama kami adalah keselamatan pelanggan dan tidak mahu mengambil risiko dengan mengangkut bahan merbahaya dalam pesawat,” kata United Airlines dalam satu kenyataan kepada BBC.

 

Penerbangan Malaysia Airlines 370 ke Beijing dilaporkan telah membawa 440lb (200 kg) bateri litium-ion di dalam kargo, menambah satu lagi teori untuk misteri kehilangan tahun lepas.

 

American Airlines berhenti menghantar penghantaran bateri jenis lithium-ion pada bulan Februari. Ia pernah menerima bateri yang dibungkuskan dalam pakej kecil dikumpul dalam bekas kargo tunggal. Tetapi ia telah menimbulkan kebimbangan keselamatan kerana jumlah bateri yang besar dimuatkan ke dalam satu bekas.

 

Walau bagaimanapun, bateri yang dimuatkan di dalam atau bersama peralatan seperti komputer riba atau alat kuasa diterima untuk penghantaran oleh ketiga-tiga syarikat penerbangan AS itu.

 

Dalam satu insiden sebelum ini, pegawai penerbangan percaya, bateri lithium-ion menyumbang kepada kebakaran sehingga menyebabkan dua pesawat kargo Boeing 747 musnah bersama empat orang anak kapal.

 

Pakar berpendapat bateri adalah penyumbang utama beberapa kebakaran yang berlaku dalam pesawat kargo sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Penyelidikan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mendapati, bateri yang terlalu panas boleh menyebabkan kebakaran besar.

 

Dalam penyelidikan itu, FAA mengisi bekas kargo dengan 5,000 unit bateri litium-ion dan pemanas katrij yang menstimulasi haba sehingga seunit bateri menjadi terlalu panas.

 

Haba dari kartrij ini mencetuskan tindak balas rantai pada bateri-bateri yang lain dengan suhu mencecah kira-kira 600 Celsius. Ini diikuti dengan letupan yang berupaya memusnahkan kontena dan menyebabkan kargo terbakar.

 

Penyelidikan kedua yang dilakukan selepas beberapa bulan, sekali lagi menghasilkan keputusan yang sama, walaupun disertakan dengan peralatan anti-bakar.

 

Kesedaran terhadap elemen keselamatan pengangkutan bateri pasti akan memberikan tekanan kepada syarikat penerbangan yang lain untuk turut menuruti polisi tersebut demi menjaga keselamatan. Ia juga mencabar industri teknologi untuk memperkenalkan kaedah yang lebih selamat untuk mengangkut dan menghantar bateri menggunakan pesawat tanpa membahayakan penumpang dan anak kapal.

 

Bateri Lithium-ion digunakan dalam telefon bimbit, komputer riba dan peranti digital yang lain.

 

Dianggarkan 4.8 bilion sel lithium-ion telah dihasilkan pada tahun 2013 dan pengeluaran ini dijangka mencecah lapan bilion pada tahun 2025.

 

Mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa PBB, penghantaran bateri boleh dicas semula menggunakan pesawat penumpang seharusnya dihadkan kepada tidak lebih daripada beberapa dalam satu kotak tunggal.

 

Tetapi kelemahan dan kelonggaran peraturan membenarkan banyak kotak kecil dimasukkan ke dalam satu penghantaran, bermakna beribu-ribu bateri boleh dimasukkan ke dalam palet dan dimuatkan ke dalam kargo kapal terbang penumpang.

 

Bagaimanapun, setakat ini tiada kebakaran dilapor berlaku ke atas pesawat penumpang disebabkan bateri.

 

FAA juga mendedahkan, bateri lithium-logam yang tidak boleh dicas semula dan peralatan gajet seperti kamera dan kalkulator juga boleh terbakar pada kadar yang lebih pantas.

 

PBB mengharamkan penghantaran bateri tersebut menggunakan pada pesawat penumpang pada tahun lepas dan larangan itu berkuat kuasa pada bulan Januari.

 

Kira-kira 10 peratus daripada 2.5 bilion bateri lithium-logam dihasilkan setiap tahun dihantar melalui udara.

 

Bateri Lithium-ion antara bateri yang paling kerap dihantar melalui udara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.