PM Tinjau Projek MRT

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meninjau kerja-kerja pembinaan projek Aliran Transit Massa (MRT) Stesen Tun Razak Exchange (TRX) bagi melihat sendiri kemajuan hub pengangkutan awam moden negara yang dijangka siap pada Julai 2017.

 

Perdana Menteri tiba di kawasan pembinaan yang terletak di Jalan Tun Razak kira-kira 4.40 petang dan disambut Pengerusi MRT Corporation Sdn. Bhd. yang juga Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

 

Sebaik selesai memakai topi, jaket dan kasut keselamatan, Najib kemudian diberi penerangan mengenai kerja-kerja pembinaan oleh Pengarah Projek Laluan MRT Corp. Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK), Marcus Karakashian mengenai projek stesen TRX yang hampir 60 peratus siap.

 

Perdana Menteri dibawa ke sekitar kerja-kerja pembinaan termasuk dari dek tinjauan, platform stesen dan laluan terowong serta dilihat beberapa kali mengangguk serta tersenyum sewaktu penerangan diberikan sebelum beredar kira-kira pukul 5.30 petang.

 

Ini merupakan kunjungan ketiga Najib ke tapak projek MRT yang mana sebelum ini beliau pernah melawat Stesen Cochrane sebanyak dua kali tahun lepas.

 

TRX merupakan stesen terbesar di antara tujuh stesen bawah tanah yang akan menjadi penyambung kepada laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang merupakan laluan kedua MRT.

 

Laluan pertama MRT, Sungai Buloh-Kajang sejauh 51 kilometer terdiri daripada 31 stesen dan menyediakan perkhidmatan kepada 1.2 juta orang sepanjang laluan itu.

 

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Projek Terowong, Satpal S.Bhogal berkata, kerja-kerja bawah tanah keseluruhannya berada pada kadar 75 peratus dengan kerja-kerja terowong setakat Januari adalah 95 peratus. – BERNAMA / Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.