Penyeludup Dadah Australia Dipindahkan Untuk Jalani Hukuman Mati

KEROBOKAN: Dua penyeludup dadah warga Australia di Indonesia telah dipindah keluar dari penjara di Bali awal hari ini untuk dibawa ke sebuah pulau bagi menjalani hukuman mati.

 

Myuran Sukumaran, 33, dan Andrew Chan, 31, yang turut dikenali sebagai ahli kumpulan ‘Bali Nine’ dilihat telah dibawa keluar dari penjara Pulau Kerobokan menaiki dua kereta perisai ke lapangan terbang Bali diiringi pihak penguatkuasa dan wartawan.

 

Menurut Pegawai Kementerian Keadilan Indonesia, Nyoman Putra Surya, dua banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati pada tahun 2006 itu, telah dikejutkan pada awal pagi dan diberikan hanya beberapa minit sahaja untuk bersiap.

 

“Mereka mengucapkan terima kasih dan sebelum keluar penjara kami menggari mereka. Mereka berdua hanya diam,” kata Nyoman sebelum memindahkan mereka ke satu penerbangan sewa khas.

 

Kira-kira 200 anggota polis, 50 anggota tentera dan meriam air telah ditempatkan di luar penjara Bali ketika Andrew dan Myuran dibawa keluar dari penjara.

 

Pasangan itu diterbangkan ke Cilacap di Pulau Jawa dan kemudian akan dipindahkan ke Pulau Nusakambangan untuk ditempatkan di penjara berkawalan keselamatan ketat di sana.

 

Pegawai-pegawai tempatan masih belum mengumumkan tarikh bagi hukuman mereka, tetapi pemindahan dua banduan itu pada hari ini menunjukkan ia akan berlaku dalam tempoh terdekat. Difahamkan, pihak berkuasa perlu memberi banduan notis 72 jam sebelum hukuman mati dijalankan.

 

Mereka dijangka berhadapan skuad penembak mati.

 

Perdana Menteri Australia Tony Abbott  telah berulang kali menyeru agar Jakarta tidak meneruskan hukuman mati.

 

Abbot sebelum ini menyatakan bahawa Indonesia ‘berhutang’ dengan Australia dan kerana itu tidak perlu melaksanakan hukuman mati kepada dua warganya, Myuran dan Andrew.

 

Australia tidak mengiktiraf hukuman mati dan masih merayu pada saat-saat akhir untuk membebaskan dua warganya itu.

 

Menteri Luar Australia, Julie Bishop pula pernah menyatakan tindakan melaksanakan hukuman mati itu akan merugikan Indonesia kerana industri pelancongan republk  itu, khususnya pulau Bali yang sering dikunjungi warga Australia mungkin akan diboikot.

 

Indonesia teguh mempertahankan undang-undang dan hukuman berkaitan pesalah dadah terutamanya selepas Presiden Joko Widodo berikrar akan memerangi masalah tersebut habis-habisan.- Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.