Penjawat Awam Antara 3 Ditahan Terbabit ISIS – Ketua Polis

Kuala Lumpur – Seorang penjawat awam antara tiga individu yang ditahan polis bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Johor dan Perak antara 28 Februari dan 2 Mac kerana disyaki terbabit dengan aktiviti kumpulan militan Isis.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis menahan seorang penjawat awam yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan kerana disyaki membantu mendaftarkan akaun Facebook bagi kegunaan beberapa rakyat Malaysia, berkaitan dengan aktiviti kumpulan Isis.

 

“Polis percaya suspek itu yang berasal dari Perak juga merupakan anggota kanan kumpulan pengganas Isis di Syria.

 

“Hasil siasatan mendapati suspek berusia 39 tahun itu merancang untuk menyertai Isis (di Syria) dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata dalam kes kedua, pihaknya menahan seorang peniaga lelaki berusia 22 tahun yang berasal dari Perak kerana disyaki terlibat dalam menyumbang dana kepada rakyat Malaysia yang ingin menyertai Isis di Syria.

 

Khalid berkata polis menahan suspek ketiga, yang merupakan surirumah berusia 29 tahun dari Johor, kerana disyaki merancang untuk menyertai kumpulan Isis.

 

“Polis percaya wanita berkenaan juga bertanggungjawab dalam menghasut seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 17 Februari lepas, kerana dipercayai cuba menyertai Isis di Syria,” katanya.

 

Kesemua mereka ditahan mengikut Bab VIA – kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan dan disiasat mengikut prosedur mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.