Pecah Masuk Rumah Kerabat Diraja

Kuala Lumpur – Akibat memecah masuk dan mencuri barang bernilai hampir RM30,000 di kediaman milik seorang kerabat diraja Pahang, seorang buruh dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.

 

Mohd Faizan Mohamad, 34, melakukan kesalahan itu di Lorong U-Thant di sini antara 6 pagi, 24 Februari hingga 6 pagi, 25 Februari.

 

Dia didakwa melakukan pecah rumah dengan mencuri tiga set blower pendingin hawa, satu unit lampu chandelier, jongkong tembaga) dan pam air.

 

Majistret Saifulakmal Said memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditangkap pada 27 Februari lepas.

 

Ketika membuat rayuan supaya hukuman diringankan, Mohd Faizan yang tidak diwakili peguam berkata: “Saya sangka ia rumah yang ditinggalkan kerana keadaan di luar yang semak dan tidak berkunci. Saya benar-benar menyesal dan insaf atas perbuatan saya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.”

 

Namun, majistret itu menegaskan tidak mengetahui kediaman itu milik seorang kerabat bukan alasan untuk memecah masuk dan mencuri di premis berkenaan dan ia tetap menjadi kesalahan jenayah serius.

 

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana perbuatan pecah rumah adalah kesalahan yang serius, dan alasan tertuduh tidak tahu siapa pemilik rumah itu bukanlah faktor pembelaan serta barang yang dicuri telah dijual dan tidak dapat dikembalikan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.