Palanivel Bukan Anggota MIC lagi – Subramaniam

Kuala Lumpur – Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini mengaku bahawa Presiden Datuk Seri G. Palanivel bukan lagi anggota parti itu, pada saat beliau bertindak membawa masalah parti ke mahkamah.

 

Subramaniam berkata ia berdasarkan perlembagaan parti di bawah Perkara 91 dan 15.6 yang melarang mana-mana anggota parti daripada memfaillan tindakan undang-undang tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

 

“Mana-mana anggota parti yang berbuat demikian akan dilucutkan keahlian serta-merta,” katanya.

 

Subramaniam tidak berminat menurut langkah Palanivel dan memilih untuk menyelesaikan masalah parti dengan menyelesaikan isu melalui saluran betul seperti menurut arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

 

Pada 24 Februari lalu, bekas ketua setiausaha A. Prakash Rao bagi pihak Palanivel, ketua setiausaha MIC Datuk S. Sothinathan dan naib presiden Datuk S. Balakrishnan memfailkan tindakan undang-undang menyaman RoS selepas badan itu mengarahkan parti untuk mengadakan pilihan raya baharu atau parti itu dibatalkan.

 

Dr Subramaniam berkata, menyeret parti ke mahkamah tidak menyelesaikan masalah kerana ia akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan selain daripada implikasi lain dan perkara ini turut akan memberi kesan kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14.

 

“Kami mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya parti dan telah menubuhkan jawatankuasa pilihan raya khas untuk menangani perkara ini.

 

“Jawatankuasa itu juga bersedia untuk proses pembersihan cawangan. Ia kini mendapatkan maklumat daripada semua cawangan sebelum menghantarnya ke RoS yang kemudian akan membuat keputusan.”

 

Menteri Kesihatan itu bercakap demikian selepas perasmian Persidangan Keselamatan Makanan Dunia hari ini.

 

Beliau mengaku buat masa sekarang, parti itu terbahagi mengikut ideologi tetapi Dr Subramaniam berkata ia tidak akan berpanjangan.

 

Beliau turut berkata bahawa apabila masalah pilihan raya selesai, semua anggota akan berdiri di belakang parti walaupun mempunyai pandangan berbeza untuk menunjukkan kesetiaan kepada MIC.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.