Menangis Teresak-Esak Lihat Suami Maut

KOTA BHARU – Seorang wanita menangis teresak-esak selepas melihat suaminya maut dalam kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Kenari yang bertembung dengan lori muatan pasir berhampiran Klinik Pengkalan Datu, Sering, di sini, petang semalam.

 

Wanita terbabit tiba di lokasi kejadian setengah jam selepas kejadian itu setelah dimaklumkan oleh ahli keluarga terdekat.

 

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu berlaku ketika mangsa, Foo Ah Wa, 70, yang memandu kereta tersebut dari arah Kedai Lalat ke Tawang, dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

 

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan kejadian.

 

Menurutnya, mangsa maut di lokasi kejadian dan dipercayai tidak memberhentikan keretanya walaupun pemandu lori terbabit cuba membrek.

 

“Akibat pelanggaran tersebut, penumpang yang turut menaiki kereta terbabit, dipercayai warganegara Indonesia cedera parah di muka dan kepala,” katanya.

 

Rohaimi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)  Kubang Kerian dan dihantar ke unit forensik untuk bedah siasat.

 

“Penumpang yang parah belum dikenal pasti identitinya, turut menerima rawatan di wad HUSM.

 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.