Buskers Promosi Muzium Muzik

KUALA LUMPUR – Petikan gitar dan dendangan pelbagai lagu memeriahkan suasana di Dataran Merdeka di sini, apabila beberapa kumpulan pemuzik jalanan (buskers) menunjukkan bakat masing-masing baru-baru ini.

 

Kemahiran bermain muzik anak-anak muda itu turut menarik perhatian pelancong asing yang sememangnya menjadikan Dataran Merdeka sebagai salah satu tempat ‘wajib’ untuk dikunjungi.

 

Aksi buskers yang sudah menjadi salah satu hiburan baharu bagi warga kota itu merupakan cara bagi mempromosi Muzium Muzik yang akan dibuka di kawasan itu pada Mei nanti.

 

Persembahan bermula pada pukul 11 hingga 12 tengah hari dan 3 hingga 4 petang setiap Sabtu dan Ahad.

 

Pengarah Muzium Muzik, Rohana­ Husin berkata, muzium yang pertama kali dibuka di negara ini dijangka dapat menarik kehadiran­ pelancong terutamanya peminat seni.

 

“Penubuhannya oleh Jabatan Muzium Malaysia adalah untuk memelihara muzik yang merupakan salah satu khazanah negara dan warisan budaya bangsa.

 

“Seharusnya apa sahaja yang berkaitan dengan dunia muzik itu sendiri harus dijaga dengan sebaik mungkin agar tidak hilang ditelan zaman,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

 

Menurutnya, penubuhan sebuah muzium muzik tempatan amat penting untuk mempamerkan sejarah perkembangan industri muzik tanah air.

 

“Sudah tentu kewujudannya nanti dapat membantu pencinta seni melangkah lebih jauh dalam bidang seni.

 

“Muzium itu bukan sekadar tempat mempamerkan peralatan muzik malah menjadi tempat rujukan kepada orang ramai untuk mengenali lebih mendalam mengenai muzik,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.