UMNO dan PAS Shah Alam Sepakat Gerakkan Jentera Bantu Kempen PRK Semenyih

SHAH ALAM – UMNO dan Pas kawasan ini sudah bersiap sedia untuk menggerakkan jenteranya berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Azhari Shaari berkata, pihaknya telah mencapai kata sepakat secara rasmi dalam pertemuan malam kelmarin, setelah sekian lama kedua-dua parti itu mewarnai politik tanah air.

“UMNO dan Pas Shah Alam telah menunjukkan semangat setiakawan yang baik dan padu selepas bekerjasama kali pertama ketika menghadapi PRK Sungai Kandis Ogos lalu dan PRK Seri Setia pada September lalu.

“Kerjasama ini makin erat pada PRK Parlimen Cameron Highland minggu lalu,” katanya dalam status akaun Facebooknya, semalam.

Menurut Azhari, persediaan awal yang akan dilakukan kedua parti itu bagi menghadapi PRK DUN Semenyih ialah mengumpul data pengundi bagi memudahkan gerak kerja dijalankan.

“Kita berharap kerjasama ini dipandang positif oleh rakyat Malaysia kerana dengan kuatnya parti UMNO dan Pas, maka kestabilan negara lebih kukuh.

“Ini disebabkan sejarah membuktikan kedua parti mempunyai ahli hampir lima juta orang.

“Dengan keahlian yang besar ini sudah pasti ada pihak rasa terancam kerana sokongan rakyat kepada mereka semakin luluh,” katanya.

Beliau mengingatkan mana-mana parti, terutama saingan UMNO dan Pas, agar tidak berusaha untuk memecah-belahkan perpaduan ummah di negara ini.

Katanya, Pas dan UMNO berjuang untuk menang, bukan menumpang kepada pihak yang telah menang.

“Tidak semua pertandingan kita boleh menang. Segalanya telah tertulis di Loh Mahfuz.

“Sesungguhnya dengan izin Allah juga Pas dan UMNO bersatu atas dasar kerjasama politik,” katanya sambil menambah, dalam politik tiada istilah musuh dan sahabat.

Cuma yang ada, kata beliau, perjuangan rakyat untuk menuntut agar hak Perlembagaan Persekutuan dihormati, bukan dikhianati. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.