MB N9 Beri Alasan Peruntukan Bina Masjid Ditarik Balik Kerana Tapak Tak Sesuai

SEREMBAN – Kerajaan negeri menafikan dakwaan bahawa ia mempunyai tujuan untuk menipu rakyat dalam isu peruntukan yang ditarik balik bagi pembinaan masjid baharu dekat pinggir bandar IOI di Jempol.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan baharu perlu melihat kesesuaian tanah yang diserahkan bagi pembinaan masjid berkenaan kerana ia melibatkan wang rakyat.

“Pendirian kerajaan ialah mana-mana tanah yang diserahkan kepada kami mestilah sesuai dan bukan tanah paya.

“Buat apa hendak buat (masjid) kalau dapat tapak yang tidak sesuai,” katanya selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Seri Sikamat di sini malam tadi.

Beliau diminta mengulas troll bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laman Facebook mengenai peruntukan sebanyak RM7.17 juta bagi pembinaan masjid baharu itu yang telah ditarik balik oleh kerajaan negeri.

Kenyataan Najib itu turut disertakan dengan laporan Utusan Online bertajuk `MB akui peruntukan bina masjid ditarik balik’.

Ia diiringi pantun:-

Tepuk amai-amai

Belalang kupu-kupu

Kata orang ramai

Semua kena tipu

Dalam laporan Utusan Online itu, Menteri Besar mengakui peruntukan yang telah diluluskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2016 bagi pembinaan masjid berkenaan telah ditarik balik.

Bagaimanapun, beliau menafikan pembinaan masjid untuk kemudahan lebih 10,000 umat Islam di enam taman perumahan dekat Bahau itu telah dibatalkan.

Aminuddin menyifatkan kata-kata Najib itu sebagai sesuatu yang biasa bagi kerajaan dahulu dan beliau tidak ada masalah mengenainya.

“Kita jangan jadi orang yang tidak bijak,” katanya dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri itu.

Malah, beliau menyalahkan kerajaan dahulu sebagai punca pembinaan masjid baharu itu menjadi satu isu.

“Kerajaan dulu tidak peduli, lubang mana pun boleh buat,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.