TMJ Terus Dapat Penghormatan Antarabangsa

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus mendapat penghormatan di peringkat antarabangsa apabila dijemput menyertai Lembaga Penasihat Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia (WFS).

 

Perkembangan baharu itu diumumkan dalam satu kenyataan menerusi akaun rasmi kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Johor Southern Tigers sebentar tadi.

 

Menurut kenyataan itu, antara peranan Lembaga Penasihat WFS adalah untuk memberi pandangan dalam pengurusan selain menyumbang daripada segi peningkatan profil, membantu merancang strategi dan tindakan serta memudahkan kolaborasi antara organisasi.

 

WFS adalah persidangan antarabangsa bagi membincangkan industri bola sepak. Ia turut disertai oleh kelab utama dari serata dunia seperti Juventus, Real Madrid, Barcelona CF, Bayern Munich, Manchester United dan AC Milan.

 

“Pastinya Lembaga Penasihat tersebut terdiri daripada kalangan individu-individu yang mempunyai kredibiliti tertentu dan ia satu penghormatan buat Tunku Mahkota Johor, dijemput untuk menyertainya,” kata kenyataan itu.

 

Pada Oktober tahun lalu, Tunku Ismail yang juga pemilik JDT mengharumkan nama negara apabila muncul wakil tunggal dari Asia Tenggara yang berucap pada WFS 2016 di Madrid, Sepanyol.

 

Antara individu lain yang turut berucap persidangan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Atletico Madrid, Miguel Angel Gil; Pengarah Besar Korporat La Liga, Javier Gomez; Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Qatar, Dr Thani Abdul Rahman Al Kuwari; Pengarah Media Twitter, David Nunez dan Pengarah Urusan Sportradar, Stefan Leibhard.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.