Bayi 2 Bulan Maut Disembelih Ibu Sendiri

MACHANG – Seorang ibu berusia 32 tahun dipercayai mengelar leher bayi perempuannya berusia 2 bulan setengah sehingga mati dalam satu kejadian di Kuarters Kem Desa Pahlawan Kok Lanas, Kota Bharu, hari ini.

 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, siasatan awal mendapati suspek yang merupakan isteri kepada seorang anggota tentera berpangkat korporal itu berkemungkinan mengalami gangguan emosi.

 

“Dalam kejadian 2.45 petang itu, bayi itu dikelar dengan pisau dan meninggal dunia di ruang tamu rumah di tingkat 2 sebuah bangunan kuarters di kem tersebut.

 

“Ketika kejadian, suami suspek tiada di rumah dan kejadian itu disedari jiran suspek yang kemudiannya melaporkannya kepada polis,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Kelantan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Tei Hwa, hari ini.

 

Ab Rahman berkata, suspek yang berasal dari Kampung Jal, Tumpat itu ditemui masih berada bersama mangsa ketika kejadian dan ditahan polis untuk siasatan lanjut.

 

“Kita juga akan mendapatkan laporan perubatan dari hospital berhubung status kesihatan mental suspek.

 

“Mangsa juga dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk bedah siasat,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.