4 Sebab Mahathir U-Turn Selepas Label BR1M Sebagai Dedak Rasuah, Kata Najib

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat faktor mengapa Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat pusingan U berhubung pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) setelah menuduh bantuan tersebut sebagai satu bentuk ‘dedak’ daripada kerajaan.

 

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu sebenarnya sedia maklum kajian yang dibuat oleh penyelidik Bank Dunia dan Stanford telah membuktikan bahawa bantuan kewangan secara terus biasanya dibelanjakan secara berhemah seperti kebajikan keluarga dan bukan menyebabkan mereka malas seperti dakwaan Dr. Mahathir.

 

Perdana Menteri menjelaskan, pusingan U Dr. Mahathir apabila menyatakan beliau akan meneruskan BR1M sekiranya pembangkang dapat memerintah negara adalah kerana bantuan kewangan seperti itu telah diperakui oleh pakar-pakar ekonomi sebagai langkah pemangkin ekonomi yang banyak dilaksanakan di negara-negara seluruh dunia.

 

“Ketiga, rakan-rakan pembangkang pemimpin lama ini sendiri melaksanakan bantuan mirip BR1M seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi wang masuk sekolah untuk anak-anak Sela­ngor dan Lim Guan Eng memberikan bantuan kewangan rakyat miskin di Pulau Pinang.

 

“Keempat, BR1M diberikan kepada golongan berpendapatan rendah tidak kira ideologi politik. Tidak pula kita suruh mereka undi Barisan Nasional (BN), lainlah kupon Azmin Ali yang terdapat muka beliau pada kupon wang tersebut. Malah kerajaan Negeri Selangorlah banyak memberi insentif wang,” katanya dalam ucapan yang disiarkan menerusi laman blog beliau, najibrazak.com semalam.

 

Pada 26 Disember lalu, Dr. Mahathir membuat kenyataan kononnya pemberian BR1M itu rasuah dan salah di sisi undang-undang.

 

Walau bagaimanapun, dalam hanya tempoh kira-kira tiga ming­gu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu me­ngubah pendirian dan membuat pusingan U dengan membayangkan tidak akan menghapuskan bantuan berkenaan jika pembangkang berjaya menguasai kerajaan.

 

Perdana Menteri berkata, di­sebabkan empat faktor itulah pemimpin lama tersebut tiada mempunyai pilihan lain selain membuat pusingan U dalam pendirian kerana bantuan kewangan seperti BR1M diperkenalkan kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah supaya dapat meringankan beban sara hidup mereka.

 

“Kita semua tahu pusingan U yang dibuat oleh ‘U-turn Mahathir’ ini bukanlah kali pertama,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.