Tabung Haji Umum Bonus Tahunan 5 Peratus Kepada 8.85 Juta Pendeposit

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pembayaran bonus tahunan sebanyak 5 peratus kepada 8.85 juta pendeposit bagi tahun kewangan 2015.

 

Selain itu, bonus tambahan 3 peratus juga diberikan kepada pendeposit yang belum menunaikan ibadah haji sekali gus menjadikan bonus keseluruhan 8 peratus.

 

Pengumuman itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Bangunan Tabung Haji di sini hari ini.

 

“Pada asalnya, TH merancang untuk mengagihkan keseluruhan keuntungan 2015 sebanyak RM3.53 bilion sebagai bonus.

 

“Namun, setelah mengambil kira pandangan Bank Negara Malaysia dan prospek ekonomi tahun ini, TH akan menyimpan RM300 juta dari Keuntungan Boleh Agih tahun ini kepada Rizab Boleh Agih tersebut,” kata Jamil Khir pada sesi pengumuman itu.

 

Hadir sama pada majlis pengumuman itu adalah Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail.

 

Tahun lalu, TH membayar bonus sebanyak 6.25 peratus kepada 8.6 juta pendeposit dengan bonus tambahan dua peratus diberikan kepada pendeposit yang belum menunaikan ibadah haji. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.