‘Sokongan Saya Kepada Menteri Besar Kedah Yang Baharu’ – Suraya

Alor Setar – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Datuk Suraya Yaacob menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanapiah yang dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.

 

Suraya ketika ditemui sejurus selepas majlis mengangkat sumpah menteri besar sebentar tadi berkata sokongan tersebut disebabkan mandat yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kepada Ahmad Bashah.

 

“Saya menyokong perlantikan tersebut kerana beliau telah diberi mandat yang cukup baik dari Presiden parti dan kepimpinan Umno negeri

 

“Pastinya sokongan saya kepada beliau (Ahmad Bashah) sebagai Menteri Besar” katanya kepada pemberita di Istana Anak Bukit.

 

Suraya yang juga merupakan Adun Sungai Tiang itu turut menjelaskan sebagai menteri besar yang baharu, Ahmad Bashah seharusnya diberikan kebebasan dalam melantik barisan Exco yang mampu meneruskan agenda pembangunan negeri.

 

“Beliau sepatutnya mempunyai kebebasan untuk melantik barisan Exco yang akan dipilih nanti dengan nasihat daripada anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

 

“Sekiranya (saya digugurkan) kehidupan akan tetap diteruskan seperti biasa kerana sebelum ini saya pernah berkhidmat sebagai Adun biasa selama 2 penggal, takkan kita nak buat protes pula” ujarnya pula.

 

Sementara itu Exco Negeri Kedah, Datuk Norsabrina Mohd Noor ketika ditemui turut menzahirkan penghargaannya terhadap Ahmad Bashah.

 

“Alhamdulillah setelah 14 hari kemelut (politik) di negeri Kedah telah selesai dengan baik dan saya selaku salah seorang Exco ingin merakam jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada YB Mukhriz Tun Mahathir (kerana) jasa dan sumbangan terhadap kerajaan negeri selama ini.

 

“Hari ini YAB Datuk Ahmad Bashah telah mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang mana saya (turut) mengucapkan setingi-tinggi tahniah (atas perlantikan tersebut)” ujarnya pula.

 

Sabrina turut menjelaskan pada masa ini beliau akan meneruskan tugasnya sebagai Exco seperti biasa sehingga perlantikan baharu dilakukan.

 

“Untuk jawatan Exco kita kembalikan hak itu kepada MB yang baru yang mana kami sebagai wakil rakyat dan ahli (buat masa) sekarang akan terus menjalankan tugas2 rasmi kami apa yang telah dirancang selama ini akan diteruskan sehinggalah apa-apa notis atau keputusan yang akan diambil.

 

“Sekiranya saya digugurkan insyallah saya akan terus berkhidmat kepada rakyat walaupun tidak sebagai Exco tetapi insyallah saya akan terus menyokong kepimpinan Umno, pentadbiran negeri dan pengurusan negeri yang baharu” katanya lagi.

 

Suraya dan Norsabrina dikatakan antara yang bakal digugurkan sebagai Exco negeri kerana menyokong kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

 

Majoriti Adun Barisan Nasional (BN) sebelum ini menyatakan tidak lagi menyokong kepimpinan Mukhriz.

 

Terdahulu Ahmad Bashah melafazkan sumpah memegang jawatan Menteri Besar Kedah ke-12 di hadapan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

 

Turut hadir dua lagi anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

 

Hadir sama pada majlis itu Adun dan Anggota Parlimen Kedah serta pegawai kanan kerajaan negeri.

 

Semalam, Ahmad Bashah diumumkan sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu menggantikan Mukhriz, berkuat kuasa hari ini.

 

Ia susulan pengumuman peletakan jawatan Mukhriz yang telah hilang sokongan majoriti wakil rakyat di negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.