Peminat Berang, Neelofa Jual Tudung Kepada Pelanggan Di Israel

KUALA LUMPUR — Pelakon Neelofa boleh berbangga kerana tudung berjenama Naelofar Hijabnya semakin mendapat tempat di serata dunia, sehingga ada yang memesan penghantaran secara pos.

 

Namun, kiriman terbaru Naelofar dikecam peminat Neelofa di laman sosial Instagram, semata-mata kerana pelanggan tersebut menetap di negara Israel.

 

Semalam, Neelofa memuat naik gambar butiran bungkusan yang akan dikirimkannya kepada pelanggan bernama Malak Sami Magadly Abu Hasna di Israel pada 27 Januari lepas. Catatan itu telah disukai lebih 7,770 pengikutnya.

 

“Daripada Israel. Terima kasih, Alhamdulillah,” kata Neelofa dalam catatan berbahasa Inggerisnya, merujuk kepada tempahan tersebut.

 

Neelofa - tudung ke Israel

 

Rata-rata peminat berang dengan Neelofa kerana menganggap bahawa Neelofa tidak sepatutnya berurusan dengan rakyat Israel kerana Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengannya.

 

“Aik, bukan ke dalam pasport kita kata tiada dan tidak boleh ada hubungan Malaysia dengan Israel,” soal pengguna @wanny_azizan.

 

“Banyak-banyak negara, kenapa Israel? Sila tampil beri keterangan kak @neelofa,” pengguna @imranzr pula menuntut penjelasan.

 

Ada juga memarahi Neelofa kerana menganggap bahawa pengacara “MeleTOP” itu tidak seharusnya mengiktiraf kewujudan Israel kerana menganggap negara itu digagaskan secara haram dan merampas tanah Palestin.

 

Malah ada juga yang memberi komen semata-mata kerana marah dengan penduduk negara tersebut dan juga kaum Yahudi, sehingga mengeluarkan komen bersifat keterlaluan.

 

“Patut bunuh je. Kita bukan tahu apa niat dia. Israel ini bangsa yang tiada hati perut dari dulu lagi, bangsa yang tidak boleh dibuat baik, bangsa yg dilaknat,” kata pemilik akaun @wakkental.

 

“Neelofa, sebut Israel selepas itu sebut Alhamdulillah. Hentikan,” tambah @fyza_halim96.

 

Walaupun begitu, jauh lebih ramai pengguna yang mempertahankan Neelofa dan memujinya kerana sanggup berniaga kepada umat Islam yang dianggap ditindas di kawasan bergolak itu.

 

Tidak kurang juga yang cuba menjelaskan kepada pengguna lain tentang sejarah konflik antara Palestin dan Israel, dan demografik kaum Arab di kawasan itu, serta beza antara kaum Yahudi dan puak Zionis.

 

“Apa ini orang melayu kita tak boleh ke sangka baik dan fikir betul-betul sebelum komen? Tak semestinya di Israel itu semua Yahudi Zionis. Dah bagus tu dia beli hijab @neelofa.

 

“Macam mana bisnes orang melayu nak maju kalau asyik ade yang nak mengutuk. Neelofa ucap Alhamdulillah sebab bisnes hijabnya telah tersebar ke seluruh dunia. Itu pun salah ke?” kata pengguna @xxsaiful97xx.

 

“Walaupun orang Islam tu duduk di Palestin, tapi dia nak pesan barang tu kena melalui Israel jugak sebab negara Palestin tu dah dikelilingi oleh negara Israel. Dah ditembok oleh Israel. Faham?” kata @ajie_udin pula.

 

Daripada 192 ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 83 peratus atau 160 negara mengiktiraf kewujudan Israel. Malaysia antara mereka yang tidak mengiktiraf Israel, dan menghalang pemegang pasport negara itu memasuki sempadannya tanpa kebenaran.

 

Neelofa yang mengusahakan perniagaan tudung bersama keluarganya sebelum ini dilaporkan meraih jualan sebanyak RM50 juta tahun lalu, lapor portal berita BBC. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.