Kelantan Sedia Teliti Cadangan Hotel Pamoga Qu Puteh TRW

KOTA BHARU – Hasrat Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman membina hotel bertaraf enam bintang bernilai RM280 juta berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV di sini akan diteliti kerajaan Kelantan.

 

Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida berkata dalam pertemuannya dengan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob hari ini, Ahmad bersetuju meneliti cadangannya itu dan akan memberi jawapan dalam masa terdekat.

 

“Hasil pertemuan itu, Menteri Besar secara umumnya menerima cadangan berkenaan. Bila persetujuan diperolehi, projek akan kita buat dalam kadar segera,” katanya selepas pertemuan tertutup di Pejabat Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

 

Dr Vida, yang juga penasihat kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, kerajaan negeri akan membuat penelitian terperinci berhubung cadangan itu termasuk kesesuaian lokasi pembinaan hotel memandangkan kawasan berkenaan agak sesak.

 

Katanya pembinaan hotel yang akan dinamakan Hotel Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) itu usaha beliau menjadikan pasukan bola sepak Kelantan lebih maju dari segi kemudahan setanding kelab bola sepak Eropah.

 

Hotel 19 tingkat itu dilaporkan akan dibina di atas tanah seluas 0.7 hektar berhampiran papan skor elektronik stadium negeri, bakal memberi wajah baharu kepada Kelantan.

 

Hotel itu turut dilengkapi kompleks sukan yang menyediakan kemudahan permainan boling, tenis dan golf selain masjid serta kafe.

 

Dr Vida berkata, hotel itu juga memberi peluang kepada mereka yang menginap di hotel terutama peminat bola sepak Kelantan untuk menyaksikan perlawanan terus dari bilik.

 

“Hotel ini juga secara tidak langsung akan menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.