Johor Tarik RM30b Pelaburan Pada 2015

JOHOR BAHRU – Johor mencatatkan peningkatan jumlah pelaburan mencecah RM30 bilion sepanjang tahun lalu berbanding RM21.2 bilion pada tahun sebelumnya sekali gus kekal sebagai antara destinasi pelaburan utama negara.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Moha­med Khaled Nordin berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu pula berkembang pada kadar 6.5 peratus dengan nilai­an berjumlah RM93.74 bilion.

 

“Pencapaian ekonomi negeri Johor yang memberangsangkan ini adalah ekoran kejayaan pelaksa­naan dasar dan strategi pertumbuhan yang dilakukan kerajaan negeri.

 

“Perkembangan ini melonjakkan statusnya sebagai salah sebuah kawasan ekonomi yang paling dinamik selepas Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

 

Beliau yang memegang tampuk pentadbiran negeri pada Mei 2013 itu sudah melakukan banyak perubahan terhadap landskap pembangunan ekonomi negeri itu hingga Johor terus mencatatkan belanjawan lebihan lima tahun berturut-turut.

 

Mohamed Khaled yang akan menyampaikan Amanat Menteri Besar 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor di sini esok dengan dihadiri lebih 2,000 penjawat awam negeri akan memperkenalkan gagasan baharu pembangunan negeri.

 

Antaranya ialah penambah­baikan sistem pentadbiran kerajaan negeri selain meneruskan ke­langsungan agenda pembangunan untuk rakyat Johor yang bersifat inklusif dan lestari.

 

Majlis amanat tersebut akan turut dihadiri barisan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim; pemimpin-pemimpin masyarakat dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.