Tiada Lagi Amaran Buat Peniaga

SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak akan lagi berkompromi terhadap peniaga tamak.

 

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, selaras dengan penurunan harga minyak dunia, peniaga perlu mengikut undang-undang yang ditetapkan dalam penetapan harga barang dan tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan melampau.

 

Katanya, peniaga sering mengeluarkan pelbagai alasan apabila dipersoal mengenai harga barangan dijual terlalu tinggi.

 

“Saya selalu turun padang, berjumpa pengeluar, pemborong, peruncit, pemilik restoran dan sebagainya. Kadangkala bila kita tekankan mengenai harga minyak dah turun, mereka kaitkan pula dengan tarif elektrik, harga perumahan. Macam-macam dikaitkan mereka.

 

“KPDNKK sedang melaksanakan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan tetapi ia tidak akan berjaya tanpa sokongan masyarakat. Masyarakat perlu bantu beri maklumat kepada KPDNKK,” katanya kepada Sinar Harian,  semalam.

 

Menurutnya, nilai denda terhadap beberapa kesalahan perniagaan yang ditetapkan tahun lalu iaitu antara RM1 juta dan RM5 juta mungkin dinaikkan jika ada peniaga masih berdegil.

 

“Pegawai kami akan sentiasa turun padang dan memastikan peniaga meletakkan tanda harga serta harga barangan tidak terlalu tinggi hingga membebankan pengguna.

 

“Pengguna perlu membuat laporan kepada kami jika dapati ada peniaga yang menjual barang dengan kadar terlalu tinggi atau melakukan kesalahan lain,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.