Siasat Rafizi, Dokumen Langkah Kajang

Kuala Lumpur – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kejatuhan ringgit Malaysia.

 

Presiden Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu, Ramesh Rao membuat laporan polis setelah mendakwa beliau telah membaca satu artikel di www.pisau.net yang mendedahkan satu dokumen Langkah Kajang yang menyentuh soal menghancurkan ekonomi negara melalui serangan melemahkan ringgit Malaysia.

 

Beliau berkata, artikel yang dikeluarkan pada 20 Ogos 2014 itu bertajuk, “Hot! Dokumen rahsia Langkah Kajang bocor serangan ekonomi, rompak duit rakyat, jual Syabas kepada Singapura.”

 

Tambahnya, pada hari sama artikel dikeluarkan, Rafizi menafikan sekeras-kerasnya melalui kenyataan media di Astro Awani dengan menyatakan bahawa artikel tersebut sengaja direka untuk memburuk-burukan nama baik Parti Keadilan Rakyat (PKR).

 

“Saya juga tidak pasti Rafizi telah membuat laporan polis atau tidak ketika itu, namun selepas lima bulan apa yang berlaku kepada mata wang ringgit Malaysia mirip dengan apa yang terkandung di dalam artikel tersebut,” katanya kepada pemberita di hadapan Balai Polis Petaling Jaya.

 

Sehubungan itu Ramesh meminta polis menyiasat ketelusan dokumen itu dan Rafizi yang tidak membuat sebarang laporan polis jika benar dokumen itu palsu.

 

“Apa yang kita lihat di dalam perkara ini jika Rafizi benar, beliau akan membuat laporan polis. Kita sendiri lihat pihak pembangkang memang suka menyaman pihak yang menuduh jika mereka di pihak yang benar,” jelasnya.

 

Sehubungan itu, beliau meminta polis mengamalkan ujian pengesan penipuan terhadap pelaku kesalahan.

 

“Ini kerana, perkara seumpama ini boleh diputarbelitkan dan yang bersalah akan bebas,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.