‘Saya Dah Tak Sesuai Di Hot FM’ – Kieran

“Saya tak merancang apa-apa lagi selepas ini. Saya terbuka kepada apa saja tawaran mendatang,” kata penyampai radio, Kieran tatkala menamatkan tugasnya di Hot FM pada 12 Disember lalu.

 

Cuma di dalam kepalanya hanya mahu meneruskan perniagaan sejuk beku ‘lamb chop’ dan ‘chicken chop’ di bawah nama Kieransfoodproducts yang dipasarkan sejak 8 Oktober lalu.

 

Walaupun berat untuk meninggalkan konti selepas enam tahun bersama Hot FM, Kieran atau Maskiran Jaskiran nekad dengan keputusan itu. Faktor usia yang menjangkau 40 tahun dianggapnya tidak lagi sesuai dengan sasaran pende­ngar radio itu yang jauh ‘lebih muda’.

 

Kebetulan pula, Media Prima Berhad (MPB) menawarkan ‘mutual separation scheme’ (MSS) dan Kieran tidak melepaskan peluang itu.

 

Namun dia tidak menafikan, usia itu sebagai ‘permulaan’ bagi seorang lelaki. Penolong Ketua Penyunting Harian Metro, ABIE ABDULLAH terus bertanya.

 

S: Kenapa berhenti?

J: Faktor umur, saya dah 40 tahun ini.

 

S: Takkan sebab itu saja?

J: Pada saya, ia tak sesuai lagi dengan Hot FM yang sasaran pendengarnya bawah 35 tahun. Oleh kerana saya akan meletakkan jawatan penghujung tahun, saya sudah merancang bisnes sejak awal 2014 sebagai persediaan.

 

S: Maksudnya sudah rancang awal tanpa tahu adanya MSS?

J Betul tu… saya sudah rancang seawal tahun 2014. Lagipun sebab saya dah terlalu lama dalam industri radio dan boleh nampak di mana kesesuaiannya.

 

S: Jadi umur 40-an tidak sesuai berada di dalam Hot FM?

J: Kalau ikut sasaran pasaran stesen, begitulah situasinya dan saya sebagai penyampai perlu sedar hakikat itu. Umur dah 40 tahun, takkan nak kerja di stesen yang sasarannya golongan remaja.

 

S: Tetapi bukankah sekarang di Sinar FM?

J: Itu sekali seminggu sahaja, setiap Sabtu dari jam 12 hingga 4 petang dan sebagai penyampai gantian kalau ada yang cuti atau sakit. Tak boleh sepenuh masa lagi sebab bisnes baru mula dan saya juga nak mencuba buat program sukan.

 

S: Kalau begitu, bukanlah ‘potong habis’ daripada radio 100 peratus.

J: Apabila Sinar FM bagi tawaran buat hujung minggu, saya terus setuju sebab ‘on air’ dah jadi jiwa saya selama ini. Sudah 13 tahun bersiaran.

 

S: Apakah Kieran masih perlukan platform radio untuk kekalkan nama dalam industri?

J: Nak lepas terus memang susah dan Sinar FM pula sesuai dengan umur (ketawa). Saya cuma berhenti daripada Hot FM, bukan daripada industri radio. Bukan menggunakan radio untuk kekalkan nama tetapi radio yang bawa saya ke dalam industri ini dan jadi periuk nasi untuk keluarga selama ini. Saya akan teruskan dengan radio selagi mampu… insya-Allah.

 

S: Bagaimana dengan sambutan Kieransfoodproducts?

J: Alhamdulillah, sedang dikembangkan lagi. Ini resipi saya. ‘Lamb chop’ dan ‘chicken chop’ ini dibuat secara ‘homemade’ dengan sos lada hitam sekali.

Setakat ini saya baru jual menerusi online dan sudah mempunyai 15 ejen dari Johor Bahru hingga Alor Setar. Sekarang saya dalam usaha untuk membuka premis perniagaan pula.

 

S: Kenapa memilih ‘lamb chop’ dan ‘chicken chop’ atau makanan sejuk beku sebagai elemen bisnes?

J: Makanan sejuk beku tak banyak produk seperti ini, orang sekarang cari yang halal, senang dan murah. Tak payah keluar rumah, nak makan makanan orang putih pun sudah boleh buat sendiri. Jimat kos minyak, tol, parking, masa dan sebagainya.

 

S: Berapa peratus fokus terhadap bisnes berbanding radio?

J: Fokus pada bisnes lebih banyak daripada radio sekarang ini sebab bisnes sepenuh masa dan kena ‘set up’ betul-betul.

 

S: Kieran juga kelihatan di stesen Arena untuk program Bola@mamak. Apakah benar ura-ura nak sertai Arena?

J: Arena satu-satunya saluran sukan kita dan saya memang minat sukan dan akan cari peluang kalau ada untuk terbabit dalam program sukan di Arena.

 

S: Apakah selama ni ketika di Hot FM, hasrat itu terpaksa dipendam?

J: Hasrat untuk babitkan diri dalam bidang sukan memang sudah lama, malah pendengar radio pun tahu saya suka cerita mengenai sukan. Semangat lain macam kalau bercerita mengenai sukan. Peluang di MPB ada tetapi tak banyak. Program yang pernah saya buat, Kaki Bola pun diberhentikan. Apabila sudah berhenti dan jadi pegawai bebas ni, bolehlah cari peluang tempat lain.

 

S: Selepas sebulan berhenti, apa yang Kieran rasa?

J: Ingat akan ada banyak masa terluang tetapi rupanya tak juga, malah semakin sibuk dengan ‘frozen food’. Banyak kerja sebab nak ‘set up’, pekerja pun belum ramai lagi, baru seorang dua. Semua kena buat sendiri.

 

S: Tak rasa bebas atau seronok?

J: Bebas? Masih pelik lagi rasanya sebab sudah berbelas-belas tahun setiap bulan ada gaji. Seronok pun ada juga sebab sudah tak terikat dengan mana-mana syarikat. Boleh buat apa yang saya suka.

 

S: Apakah boleh dianggap keputusan ini sebagai satu keberanian dalam hidup?

J: Sudah terlalu lama saya berada dalam zon selesa, jadi saya kena buat sesuatu yang baru. Sebelum ini pun saya sudah banyak mencuba cabang bisnes tetapi semua tak menjadi, mungkin sebab tiada fokus. Kali ini saya akan fokus lebih pada bisnes dan nak pastikan sejarah tidak berulang. Pada masa yang sama lebihkan masa dengan anak-anak dan bonda, insya-Allah.- Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.