Pertelingkahan Harga Barang, Hanya Bawa Kemudaratan – PM

Putrajaya – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu semua pihak menghentikan pertelingkahan berhubung isu kenyataan Menteri Pertanian, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai harga barang.

 

Beliau berkata, sebarang pertelingkahan yang boleh menuju kepada polarisasi kaum di negara ini tidak sepatutnya dipanjangkan kerana ia hanya akan membawa kemudaratan kepada kita semua.

 

Katanya, kabinet hari ini sudah dimaklumkan mengenai kenyataan di media sosial yang dibuat oleh Ismail, sebenarnya bertujuan menegur peniaga yang enggan menurunkan harga barang walaupun harga minyak dan diesel sudah turun.

 

“Teguran yang dibuat beliau, ditujukan kepada semua peniaga, dan bukan kepada kaum tertentu. Beliau turut mencadangkan agar pengguna menggunakan kuasa beli mereka untuk memaksa peniaga menurunkan harga barang,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabatnya di sini, hari ini.

 

Najib juga mahu peniaga bersifat lebih bertanggungjawab dan bertimbang rasa dalam menentukan harga barang dan perkhidmatan sejajar dengan penurunan harga minyak dan diesel bagi membolehkan pengguna merasa kesan penurunan harga berkenaan.

 

Pengguna juga katanya perlu menjadi pengguna yang bijak, dengan menggunakan kuasa mereka untuk mendorong peniaga supaya meletakkan harga yang berpatutan.

 

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membela dan menjaga kepentingan semua kaum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.