Pas Tolak Pemerintah Bukan Islam

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Dewan Ulama Pas menegaskan, sebarang usaha untuk menggantikan peme­rintah beragama Islam dengan pemimpin dari agama lain adalah bercanggah dengan prinsip siasah Islam.

 

Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, Pas telah membuktikan komitmennya untuk mematuhi prinsip tersebut ketika menolak cadangan untuk mencalonkan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian sebagai Ketua Menteri di negeri itu pada 2011.

 

Menurut beliau, umat Islam tidak sewajarnya menerima cada­ngan yang membolehkan pemimpin ber­agama lain menjadi pemerintah mereka.

 

“Jangan pula kata, tak apalah siapa pun jadi ketua tak kisah. Pemikiran sebegitu bercanggah dengan siasah Islam,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada program Nadwah Ulama di Darul Fuqaha, Bangi, dekat sini hari ini.

 

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan menempelak keghairahan segelintir pemimpin parti berkenaan yang sanggup meninggalkan agenda perjuangan Islam kerana terlalu taksub dengan matlamat menawan Putrajaya.

 

Beliau yang juga salah seorang ahli panel program tersebut memberitahu, lebih dikesali, mereka kini seolah-olah lebih cenderung memperjuangkan prinsip tadbir urus semata-mata tanpa mempedulikan syariat Islam.

 

“Kalau itu sasaran kita maka tak perlulah berjuang atas nama parti Islam kerana kita tidak boleh memperjuangkan Islam tanpa sya­riatnya,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Penggunaan Fiqh Muwazanah Dalam Membuat Keputusan.

 

Ahli Parlimen Temerloh itu turut mempertikaikan kecenderungan pihak tertentu di dalam Pas yang meniru strategi yang digunakan parti-parti Islam di Turki dan Tunisia untuk memperjuangkan Islam di negara ini.

 

Jelas beliau, sikap itu menghairankan kerana Islam yang diamalkan di negara ini adalah lebih baik jika dibandingkan dengan dua negara berkenaan.

 

“Kalau kita hendak bawa apa yang berlaku di Turki ke Malaysia, kita kena berpatah balik ke era 1970-an,” tegasnya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.